Suntikan dana demi pembangunan sukan bola sepak negeri

GEORGE TOWN – Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang (LABPP) yang bakal bermula dalam masa terdekat menerima suntikan dana berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Dana tersebut masing-masingnya disumbangkan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy di sini.

Mohd. Rashid ketika berucap memberitahu, Kerajaan Negeri yang amat menitikberatkan pembangunan sukan dan senantiasa memberi sokongan kepada LABPP dalam membangunkan bakatbakat cilik sebagai tonggak masa depan sukan nombor satu negara kini.

“Jika kita lihat biodata dan profil-profil pemain ternama dunia hari ini, mereka juga mengembangkan bakat seawal usia enam tahun, antaranya ialah Lionel Messi.

“Usia seperti ini kita kenali sebagai akar umbi atau grass root, yang mana bakat-bakat ini mudah untuk dibentuk dan memahami sukan bola sepak lebih daripada sekadar memenangi perlawanan semata-mata,” ucapnya pada Majlis Pelancaran LABPP 2018 di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshal dan M. Satees serta Pengerusi LABPP, Yusri Abd. Hamid.

Dalam pada itu, Ramasamy menambah, Pulau Pinang perlu konsisten dan bersungguh – sungguh dalam membangunkan bakat-bakat tempatan sebagai ke arah mewujudkan skuad senior yang kuat pada masa hadapan.

Sempena pelancaran tersebut, Satees dan David masing-masing turut bersetuju menyumbang sebanyak RM2,500, manakala Persatuan Bola Sepak India Pulau Pinang (RM1,000) menjadikan dana keseluruhan diterima LABPP adalah berjumlah RM16,000.

Difahamkan, kejohanan yang akan berlangsung sehingga Ogos ini bakal mencungkil lebih 1,000 bakat cilik berusia enam hingga 12 tahun dari seluruh pelosok negeri Pulau Pinang sebagai modal pembangunan pemain pada masa depan.