Terima kasih, saya akan sedaya-upaya tunaikan kewajipan – KM

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peranan persatuan peniaga seperti Malaysia Indian Chamber of Commerce and Industry Penang (MICCI) dalam menjaga kebajikan dan kepentingan peniaga adalah amat bermakna.

 

Katanya, persatuan peniaga berkaitan merupakan perantara kerajaan dan golongan peniaga.

 

“Dengan adanya persatuan, maklumat daripada kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada golongan peniaga.

 

“Terima kasih kerana sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan peniaga,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan MICCI dekat Little India di sini 30 Mei lalu.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng, Pengerusi MICCI, Datuk N. Gobalakrishnan dan wakil-wakil persatuan sekitar Little India.

 

Pada majlis berkaitan, MICCI mengagihkan 65 hamper berupa makanan keperluan harian kepada 65 keluarga kurang bernasib baik.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berjanji akan berusaha sedaya-upaya menunaikan tanggungjawab dan mandat diberikan rakyat dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih baik.

 

”Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan selama ini daripada saya menjadi ADUN hinggalah sebagai Ketua Menteri kini.

 

“Saya mengganggap mandat ini amat penting dan berat sebab perlu menjaga seluruh kepentingan rakyat dan negeri.

 

“Saya akan berusaha sedaya upaya tunaikan kewajipan bukan sahaja sebagai ADUN, malah Ketua Menteri yang baharu,” jelasnya.