Perlu lebih ramai bakat muda dalam seni mural

BAGAN JERMAL – Pusat Belia Bagan Jermal yang baru ditubuhkan telah memulakan program pertamanya melalui penganjuran bengkel seni lukis menggunakan cat minyak pada 23 Januari lalu.

Program tersebut merupakan anjuran bersama di antara Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Bagan Jermal.

Soon Lip Chee dan Dr. Gwee Sai Ling menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta yang mengambil bahagian.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa sebagai sebuah negeri pelancongan yang mempunyai banyak bangunan lama, Pulau Pinang sememangnya memerlukan lebih ramai bakat muda dalam lukisan seni mural.

“PYDC berhasrat untuk mengumpul golongan belia dalam bidang seni lukisan cat minyak supaya mereka dapat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai projek melukis mural yang bakal dijalankan di seluruh negeri pada tahun ini.

“Oleh itu, bengkel lukisan cat minyak yang diadakan adalah salah satu usaha untuk menggilat dan melatih bakat golongan belia dalam seni ini sebelum mereka diberikan tanggungjawab menjalankan projek mural di sekitar Bagan Jermal.

“Pendek kata kita (PYDC) mahu melahirkan lebih ramai bakat muda dalam lukisan cat minyak kerana kita percaya Pulau Pinang mampu mencipta pelbagai karya mural yang cantik dan hebat pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa kata Lip Chee, PYDC berhasrat untuk meningkatkan bakat dan pengetahun golongan belia bukan sahaja dalam bidang akademik dan teknologi digital malah juga dalam seni lukis.

“Hal ini supaya negeri Pulau Pinang tidak lagi terlalu bergantung kepada pelukis luar sebaliknya menggunakan bakat tempatan dalam menghasilkan lukisan mural yang hebat,” ujarnya lagi.

Nur Nazirah Mohd. Yusoff menunjukkan lukisan menggunakan cat minyak yang dihasilkan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling berkata bahawa bengkel yang dijalankan adalah sebagai platform untuk golongan belia menyerlahkan bakar mereka dalam seni lukis.

“Apabila sudah mahir, mereka akan bersama-sama kita untuk melaksanakan projek melukis mural di bangunan-bangunan sekitar kawasan Bagan Jermal selain boleh menyertai pertandingan melukis yang bakal diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, seramai 18 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum menyertai bengkel tersebut.

Salah seorang peserta, Nur Nazirah Mohd. Yusoff, 18, ketika ditemui menyatakan rasa gembira kerana berpeluang menyertai bengkel tersebut.

“Saya memang minat dalam seni lukis, jadi apabila PYDC anjurkan bengkel lukisan cat minyak saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian untuk meningkatkan lagi kemahiran saya.

“Malah saya berhasrat untuk menyertai lebih banyak program yang dianjurkan oleh PYDC dan Pusat Belia Bagan Jermal pada masa akan datang,” ujarnya ringkas.

Sebagai rekod, Pusat Belia Bagan Jermal merupakan Pusat Belia kelima diwujudkan di negeri ini selain di Penaga, Penanti, Teluk Bahang, Seberang Jaya, Sungai Pinang, Bertam dan Bukit Tambun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD AIL MUHAMAD