Perniagaan di tanah sendiri kini perlu lesen, tangani isu kacau ganggu

photo 2026 08 21 11 27 53 (1)

PADANG KOTA – Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan Garis Panduan Permohonan Baharu dan Pengurusan Lesen Di Atas Tanah Persendirian (GTP) yang berkuat kuasa mulai hari ini, 21 Ogos 2026.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, garis panduan tersebut antara lain bertujuan memastikan aktiviti perniagaan di kawasan persendirian dapat dikawal selain menangani isu kacau ganggu serta kebersihan.

Sehubungan itu, beliau mahu individu yang menjalankan perniagaan berkaitan GTP memohon lesen daripada pihak MBPP.

“Ini khusus bagi mereka yang menjalankan perniagaan dalam kawasan rumah sendiri, di tanah sendiri dan di tanah hadapan rumah mereka.

“Kita benarkan kecil sahaja, 20 x 20 kaki atau 400 kaki persegi dan hanya dua gerai dibenarkan di satu-satu tapak.

“Tidak dibenarkan meletakkan kerusi dan meja serta hanya makanan dan minuman dibenarkan.

 

“Pemegang lesen perlu sentiasa hadir untuk mengawasi perniagaan,” ujarnya dalam sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 09 Tahun 2026 di Dewan Bandaran, Jalan Padang Kota Lama, di sini pagi tadi.

photo 2026 08 21 11 27 55 (1)

Sementara itu, Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang ketika ditemui berkata, pelaksanaan GTP berkenaan diwujudkan bagi memastikan lokasi perniagaan berada dalam keadaan kondusif serta bebas daripada kacau ganggu kawasan kejiranan, termasuk dari aspek kebersihan.

“Isu lain yang akan timbul adalah kebersihan yang mana apabila saiz perniagaan terlalu besar, aliran sisa akan menjadi isu utama.

“Selain itu, kita tidak mahu kacau ganggu akibat lalu lintas dan isu keselamatan yang boleh menjejaskan keselesaan kawasan kejiranan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, konsep perniagaan di tanah sendiri itu kini semakin berkembang di George Town dan bukan hanya di kawasan kampung.

Dalam perkembangan lain, MBPP menerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pembangunan dan Pemajuan turut meluluskan Garis Panduan Pemindahan Hak Pembangunan untuk Bangunan-Bangunan Terletak Dalam Tapak Warisan Dunia.

Menurut Rajendran, garis panduan baharu itu hanya membenarkan pemindahan maksimum dua plot berbanding tiada had sebelum ini.

Gambar: MBPP