Pertahankan keharmonian dikecapi demi kemakmuran negeri, seru Ketua Menteri

Admin

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru seluruh masyarakat di negeri ini untuk terus mempertahankan keharmonian yang dikecapi kini demi kemakmuran negeri Pulau Pinang.

Seruan itu dibuat dalam ucapan beliau sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2022 yang berlangsung dekat SPICE Convention Centre di sini sebentar tadi.

Antara barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang hadir memeriahkan majlis.

“Kita bersyukur kerana kepelbagaian serta perbezaan ini (kaum) sentiasa dirai dan menjadi keunikan utama yang berjaya menarik kunjungan dari negeri mahupun luar negara.

“Keharmonian yang menjadi cerminan kerjasama sejak sekian lama ini harus dipertahankan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negeri tercinta,” serunya lagi.

Hadir menyerikan majlis ialah Yang Dipertua Negeri, TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor serta mantan TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Para tetamu menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan isteri, Datin Mohaini Mohd. Saffar; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-Ahli Parlimen.

Menyentuh mengenai prestasi semasa negeri, Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang membawa impak begitu besar terutamanya kepada sektor ekonomi.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyantuni tetamu cilik.

“Pandemik tidak membantutkan jumlah pelaburan sektor pembuatan diluluskan di Pulau Pinang yang mana pada tahun 2021, kita berjaya mencatatkan jumlah tertinggi dalam negara sebanyak RM76.2 bilion dengan menjana 51,000 peluang pekerjaan.

“Justeru, melangkah ke tahun ke-15, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri bertekad untuk mengekalkan momentum sedia ada dan meneruskan rekod kecemerlangan Pulau Pinang melalui pentas yang sudah tersedia ini,” ujarnya lanjut.

Persembahan nyanyian dan tarian turut dipersembahkan.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah istimewa, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan nyanyian oleh beberapa artis popular tanah air serta persembahan tarian tradisional pelbagai kaum oleh artis-artis kebudayaan, Majlis Kebudayaan Negeri dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang.

Malah, pada kesempatan itu juga, Ahmad Fuzi sambil diiringi Kon Yeow dan Ahmad Jailani turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebagai meneruskan tradisi semasa sambutan Aidilfitri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI