Peruntukan khas untuk guru takmir

SEBERANG JAYA – Dalam usaha mendidik jiwa masyarakat terutamanya golongan muda-mudi untuk menjadi golongan berilmu dan berakhlak dengan mendekati masjid, peruntukan khas sebanyak RM8.4 juta telah disediakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ) sepanjang tahun 2009 bagi memantapkan peranan guru takmir.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Saleh Man berkata, pada tahun 2009, JAKIM telah menyediakan peruntukan sejumlah RM639,180 bagi pembayaran elaun guru-guru takmir yang mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas mengajar. Dengan jumlah peruntukan tersebut, bayaran untuk satu kelas adalah sebanyak RM40.

Dalam pada itu, tambah beliau, peruntukan khas sebanyak RM25,000 turut disediakan bagi pelaksanaan kelas ‘Tafaqquh Fiddin’ bagi setiap daerah oleh agensi berkenaan” katanya pada majlis Perasmian Ijtimak Guru-Guru Takmir Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Haji Sazali Husain ; wakil Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (KESUMA) ; Pegawai JAKIM, Ustazah Latifah Said ; Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Masjid dan Surau, Ustaz Ayob Yaacob dan Penyaras Program Unit Takmir, Ustaz Imran Ibrahim.

Dalam pada itu, tambah Saleh, bagi PUZ, peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM174.890. Jumlah tersebut digunakan bagi membayar elaun tambahan mengajar guru takmir sebanyak RM10 untuk satu kelas.

Justeru, bagi guru baru berkelayakan yang berhajat untuk menjadi sebahagian daripada sumber pengajar boleh mendapatkan borang permohonan dari Jaipp,’’ jelasnya.

Menurut beliau, dalam usaha memperkasakan guru-guru takmir, bahan bacaan khas akan disediakan oleh Jaipp dan JAKIM melalui Kerajaan Negeri.

Buat masa kini, terdapat dua buka iaitu ‘Ayat Suruhan’ dan ‘Ayat Larangan’ yang mengungkaikan permasalahan masyarakat membabitkan keluarga telah disediakan.

Penyakit yang dihadapi oleh umat Islam kini perlu disembuhkan. Antara elemen yang mampu membawa penyelesaian kepada dilema ini adalah dengan inisiatif memperkenalkan subjek seperti Tafsir, Hadith, Tasawuf, Feqah, Sirah dan Akhlak,’’ ujar Saleh.