Pesakit wanita Hospital Seberang Jaya dirai sempena Hari Wanita Sedunia

Admin

SEBERANG JAYA – Pesakit wanita di beberapa wad dekat Hospital Seberang Jaya diraikan dalam program sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini.

Afif menyantuni salah seorang pesakit di wad bersalin Hospital Seberang Jaya.

 

Program anjuran Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) kawasan Dewan Undangan (KADUN) Seberang Jaya itu turut dihadiri Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, penganjuran program berkenaan adalah sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan kaum wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Ini merupakan program pertama anjuran JPWK Seberang Jaya sempena Hari Wanita sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

“Selain menyantuni pesakit, kita juga mengedarkan sebanyak 150 paket “doorgift’ khusus untuk pesakit-pesakit wanita sebagai tanda penghargaan buat mereka,” ujarnya semasa ditemui Buletin Mutiara pada majlis berkaitan pada 15 Mac lalu.

Hadir sama, Pengerusi JPWK Seberang Jaya, Khairulshapinas Mohd. Saad serta wakil kakitangan hospital.

Dalam perkembangan lain, Afif memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf unit kecemasan hospital berkenaan telah siap sepenuhnya namun masih terdapat beberapa masalah kecil yang perlu ditangani.

“Kita dimaklumkan kerja-kerja menaik taraf telah siap tetapi ada beberapa masalah kecil yang masih perlu disempurnakan sebelum ia diserahkan kepada pihak Kmenterian (Kesihatan).

“Justeru, saya menyeru kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (Pulau Pinan) dan kontraktor supaya menyelesaikan isu kesesakan di unit kecemasan secepat mungkin kerana projek menaik taraf ini sepatutnya siap pada Februari lagi,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD