PKP: Gagal patuhi jarak sosial, pasar Sri Aman diarah tutup

Admin

PAYA TERUBONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini mengarahkan pasar awam di Kompleks Sri Aman dekat Relau ditutup selama tiga hari.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada sidang media yang diadakan di sini pagi ini.

Menurut beliau, arahan penutupan dilaksanakan adalah demi keselamatan awam selepas pasar berkenaan didapati gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka tidak mematuhi arahan untuk mengamalkan jarak sosial, tidak mengawal jumlah pengunjung masuk ke dalam pasar dan tidak menyediakan pencuci tangan. Oleh itu, ia diarahkan ditutup walaupun keputusan ini sangat berat untuk dilakukan.

“Jangan ambil ringan terhadap arahan yang diberikan kerana ini soal hidup dan mati. Saya beri amaran kepada semua pengendali pasar awam di negeri ini sekiranya mereka gagal patuhi PKP, kita (Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan) juga akan ambil tindakan yang sama,” katanya selepas meninjau keadaan di Kompleks Sri Aman bersama-sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Turut sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta pemilik pasar Sri Aman, Liew Piang Chong.

Mengulas lanjut, Jagdeep menegaskan bahawa tiada alasan untuk pengendali pasar Sri Aman gagal mematuhi arahan apabila MBPP dan MBSP melaporkan kadar pematuhan ketika ini telah mencapai 99 peratus.

“Pada awal pelaksanaan PKP kita telah mencapai (kadar) pematuhan 80 peratus dan hari ini kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaporkan tahap pematuhan sudah mencapai 99 peratus.

“Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua PBT dan semua pihak yang memberikan kerjasama.

“Saya harap semua pasar awam terus memberikan kerjasama dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Piang Chong mengakui pihaknya gagal mengawal kehadiran pengunjung dan akan meminta bantuan empat anggota RELA untuk mengawal keadaan apabila pasar berkenaan dibuka semula pada 1 April.

“Kami sudah cuba mengawal jumlah pengunjung tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana kebanyakan pengunjung pasar ini adalah terdiri daripada warga asing,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Dalam perkembangan berasingan, Tung Seang memaklumkan bahawa gerai tepi jalan dekat Pasar Awam Jelutong yang sebelum ini dibenarkan menjual sayur-sayuran akan ditutup mulai esok sehingga diberitahu kelak.

Terdahulu, MBPP mengarahkan semua gerai tepi jalan di Jelutong (kecuali untuk menjual sayur-sayuran), Air Itam, Bayan Baru, Jalan Perak dan Pulau Tikus ditutup untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K.H. ONG