Mahkamah Tinggi P. Pinang batal kes saman sPICE

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan semakan kehakiman serta membatalkan kes saman berhubung projek pembinaan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa (sPICE) bernilai RM300 juta.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, Mahkamah turut mengarahkan keempa-tempat plaintif, iaitu Khoo Yen Her, R. Rama Krishnan, Abd. Manan Abd. Manap dan K. Sathiasilan membayar kos berjumlah RM7,500 kepada 14 responden, termasuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri.

“Ini kedudukan terakhir (saman tuntutan) yang difailkan oleh empat orang plaintif ke atas empat pihak (difendan), iaitu Kerajaan Negeri, 11 lagi Exco (ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, MMK), MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan Eco Meridian Sdn. Bhd. (EMSB),” ujar beliau baru-baru ini di Komtar, di sini.

Pada 29 November lepas, Kerajaan Negeri menerima Writ Saman serta Penyataan Tuntutan daripada keempat-empat plaintif melalui Tetuan Thayalan & Associates.

Dalam Pernyataan Tuntutan yang difailkan, mereka mencabar kesahihan perjanjian antara MPPP dan pemaju, EMSB yang merupakan anak syarikat SP Setia Bhd.. Malah, pihak plaintif turut mendesak Mahkamah mengisytihar batal serta tidak sah berhubung projek mega di atas tanah MPPP yang kini terdirinya Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

Selain itu, plaintif turut menuntut satu deklarasi bahawa arahan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang kepada Defendan ke-13, iaitu MPPP adalah batal dan tidak sah.

Plaintif turut menuntut satu deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan perjanjian tambahan ketumpatan adalah bercanggah dengan Akta Perancangan dan Desa 1976 serta Seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Perlembagaan Persekutuan) sendiri berserta kos relif lain.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 Mei lepas telahpun membatalkan Writ Saman serta Penyataan Tuntutan berwajib selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak, iaitu plaintif dan defendan.

Pihak plaintif kemudiannya membuat permohonan semakan kehakiman sebelum Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Disember lepas membuat sekali lagi ketetapan dengan menolak rayuan pemohon serta membatalkan kes berkenaan.

CHOW Kon Yeow mempamerkan dokumen Pernyataan Tuntutan diterima Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini.
CHOW Kon Yeow mempamerkan dokumen
Pernyataan Tuntutan diterima Kerajaan Negeri
Pulau Pinang pada sidang media yang diadakan
di Komtar baru-baru ini.