UIniversiti Penanti bakal jadi kenyataan

Admin

 

GEORGE TOWN – Graduan-graduan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) negeri Pulau Pinang boleh melanjutkan pengajian di universiti Islam yang bakal diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Permatang Pauh kelak.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, tapak lokasi bagi cadangan projek tersebut yang merangkumi satu pembangunan bandar baru di Mengkuang, Bukit Mertajam (belakang Institut Perguruan Tuanku Bainun) telah dikenalpasti. Cadangan awal bagi rancangan ini adalah untuk menjadikan kampus universiti ini sebahagian daripada bandar baru tersebut.

Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk mendapatkan persetujuan daripada universiti-universiti dari Arab Saudi, Turki dan negara-negara Islam yang lain untuk membuka kampus di bandar baru ini,’’ katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Ke-12 di sini baru-baru ini.

Mansor yang juga ADUN Penanti berkata, usaha ini adalah untuk mengembalikan Pulau Pinang sebagai pusat kegemilangan pengajian Islam satu masa dahulu yang telah banyak melahirkan ilmuan Islam seperti Syed Syeikh al-Hadi, Dr. Buhanuddin al-Helmy, Abu Bakar Asyaari dan ramai tokoh-tokoh Islam yang berjasa kepada negeri dan negara ini.

Pada masa sama, ia juga adalah untuk mengangkat martabad Islam dan Melayu di Pulau Pinang. Dengan wujudnya institusi ini nanti akan dapat memberikan peluang pendidikan yang lebih berkualiti kepada masyarakat Islam secara keseluruhanya,’’ ujar beliau.