PR mampu tingkat kebajikan wanita

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BUKIT MERTAJAM – Walaupun statistik menunjukkan bahawa bilangan wanita yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah lebih tinggi daripada lelaki, namun, penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja masih kekal rendah.

Senario tersebut secara tidak langsung menyebabkan jumlah wanita pada peringkat pembuat keputusan adalah jauh lebih rendah daripada lelaki.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng ketika menegaskan kenyataan tersebut menyatakan bahawa bagi mengatasi ketidaksamarataan tersebut, Pakatan Rakyat (PR) memiliki manifesto tersendiri berhubung kebajikan kaum wanita pada aspek keselamatan, bebanan kerja dan sumbangan golongan suri rumahtangga.

“Sekiranya PR ‘menjadi’ kerajaan pusat, keberkesanan anggota polis dalam membanteras kes-kes jenayah bakal dikemaskini bagi menjana suasana yang selamat untuk kaum wanita.

“Malah, PR juga akan menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak, waktu kerja fleksibel untuk meringankan bebanan kaum ibu bekerja, memberi pengiktirafan ke atas sumbangan suri rumahtangga dan melancarkan skim Caruman Wanita Malaysia dengan sumbangan RM50 kepada surirumah yang memperoleh pendapatan isi rumah sebanyak RM1,500 ke bawah sebulan untuk tujuan tabung simpanan dan bantuan musibah,” katanya pada penganjuran program Line Dancing For Malaysia Day 2012 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lim Siew Khim, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Seteven Sim dan Oon Neo Aun serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Perkampungan Berapit, Ang Tun Kiat.

Kira-kira 400 kaum Hawa menyertai penganjuran program yang turut diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia tersebut.

 

CHONG Eng (depan, berkaca mata) menari bersama para peserta Line Dancing For Malaysia Day 2012 di sini baru-baru ini.
CHONG Eng (depan, berkaca mata) menari bersama para peserta Line Dancing
For Malaysia Day 2012 di sini baru-baru ini.