Kitar semula jimat RM1.32 juta kos lupus sampah

PERMATANG PAUH – Inisiatif khas yang diambil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam menggalakkan amalan kitar semula di sini membuahkan hasil apabila RM1.32 juta kos pelupusan sampah berjaya dijimatkan pada tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud berkata, melalui aktiviti (kitar semula) yang dijalankan, MPSP berjaya mencapai kadar kitar semula pada setengah tahun pertama yang tinggi iaitu 32.87 peratus berbanding sasaran kerajaan persekutuan sebanyak 20 peratus.
“Ekoran itu, MPSP dapat menjimatkan RM1.32 juta kos pelupusan sampah di sini pada tempoh enam bulan pertama tahun ini,’’ katanya ketika merasmikan Program Kitar Semula dan Membuat Kompos Sisa Dapur Organik di Permatang Nibong di sini baru-baru ini.

Rozali memberitahu, setiap hari, sekurangkurangnya 1,000 tan sampah dikutip oleh MPSP.

“Jumlah tersebut tidak termasuk besi-besi buruk dan sampah yang dibuang secara haram di kawasan terbuka. Semua kerja-kerja pengumpulan sampahsampah ini adalah melibatkan kos yang sangat tinggi setiap tahun,” jelas beliau.
Mengulas mengenai program dirasmikan beliau, Rozali menyatakan bahawa kawasan berkenaan tersebut dipilih berikutan 70 peratus daripada penduduk di sini bergiat dalam sektor penanaman padi dan secara tidak langsung telah biasa dengan proses pengomposan baja organik.

“Justeru, MPSP yakin penduduk dapat mengompos sendiri sisa dapur harian kepada baja organik setelah didedahkan dengan taklimat serta kaedah berkaitan proses berkenaan,’’ katanya sambil menjelaskan bahawa pengomposan sisa organik mempunyai dua kelebihan
iaitu mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan dan kedua, menghasilkan baja organik.
Keseluruhan projek kitar semula yang menelan kos RM41,000 bagi Daerah Seberang Perai Tengah ditaja sepenuhnya oleh CIMB Bank Cawangan Maju Utama. Malah, jumlah tajaan sebanyak RM36,000 turut diperoleh bagi program sama di Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

SALAH seorang kakitangan MPSP di samping sepanduk Program Kitar Semula dan Membuat Kompos Sisa Dapur Organik di Permatang Nibong di sini baru-baru ini.
SALAH seorang kakitangan MPSP di samping sepanduk Program
Kitar Semula dan Membuat Kompos Sisa Dapur Organik di
Permatang Nibong di sini baru-baru ini.