PR1MA: Jangan bagi rakyat berharap, kalau tak ada, cakap tak ada – Exco

GEORGE TOWN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA digesa menjelaskan status pembinaan 24, 923 unit rumah yang diluluskan di negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) pada 21 Ogos 2015 lalu yang turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Jelas beliau, mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak itu telah memaklumkan bahawa sehingga akhir Julai 2015, anggota Perbadanan PR1MA Malaysia meluluskan 153,807 unit rumah termasuk di negeri Pulau Pinang yang mencatatkan kelulusan tertinggi iaitu sebanyak 24, 923 unit rumah.

“Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini (23 November), kita (Kerajaan Negeri) masih belum menerima sebarang permohonan rasmi PR1MA berhubung unit rumah yang diluluskan itu.

“Saya amat berharap, sekurangkurangnya memaklumkan secara rasmi tentang kedudukan dan status pembekalan unit rumah PR1MA di Pulau Pinang.

“Jangan bagi kami rakyat Pulau Pinang tertunggu-tunggu dan berharap, kalau tak ada, cakap tak ada, kalau ada, beritahu di mana dan bila akan dibangunkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep sebelum ini telahpun mengadakan perbincangan dengan wakil PR1MA pada 25 Ogos lalu, namun sehingga kini masih tiada apa-apa perkembangan lanjut berkaitan pembekalan rumah PR1MA di Pulau Pinang.

“Lebih membingungkan apabila menerima makluman bahawa kelulusan telahpun dibuat melalui MPN dan kita (Kerajaan Negeri) tidak menerima sebarang permohonan hitam putih dari PR1MA.

“Oleh itu, hari ini (23 November 2015) saya menulis sepucuk surat kepada Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan memohon pengesahan dan penjelasan beliau berhubung perkara ini,” jelasnya.

Selain itu, melalui suratnya, Jagdeep turut menuntut penjelasan berhubung 100,000 unit rumah di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPAIM) berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 yang akan dibina sebelum 2018 termasuk 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 rumah teres berjumlah RM863 juta di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) sebagaimana diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2016 baru-baru ini.

Terdahulu, ketika menghadiri Program Roadshow Rumah Mampu Milik (RMM) Mission Home-Possible 2.0 bagi Daerah Timur Laut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa pihaknya juga menulis sepucuk surat bertarikh 30 September 2015 kepada Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar. Aminuddin Abdul Manaf dengan memberi cadangan supaya pembangunan perumahan PR1MA dapat dilaksanakan di Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang juga memerlukan rumah.

“Walaupun telah banyak pengumuman dibuat berhubung PR1MA, namun kita belum memperoleh jawapan rasmi dan terkini.

“Sekiranya PR1MA ingin membina rumah di Pulau Pinang, kita pasti akan membantu menjayakannya demi kepentingan rakyat,” kata Jagdeep.