Prasarana DUN Pulau Pinang dipertingkat, sedia kemudahan lebih kondusif

Admin
c0b7fd1d 872f 456a b598 9f23bb96252d

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang membelanjakan RM1.5 juta bagi melaksanakan kerja penambahbaikan dan penaiktarafan kemudahan bangunan di Lebuh Light, termasuk penyediaan sebuah bilik laktasi, ruang rehat petugas serta penambahbaikan kemudahan untuk pengamal media.

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan penambahbaikan bahagian dalaman dan luaran bangunan, selain pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan menerusi penyediaan laporan dilapidasi serta kerja penyelenggaraan bumbung.

“Antara kemudahan baharu yang disediakan adalah bilik laktasi khusus bagi wanita yang menyusukan anak, manakala ruang rehat petugas DUN turut ditambah baik bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa, kondusif dan mempunyai privasi.

“Selain itu, Galeri Bangunan DUN turut dimurnikan dan dijenamakan semula sebagai Warisan Visual Terukir bagi memaparkan sorotan sejarah serta khidmat bakti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang telah berkhidmat sejak tahun 1959 hingga 2026,” katanya pada majlis ringkas pelancaran bilik laktasi di DUN Pulau Pinang di sini pada 5 November 2026.

3c60da22 54ec 47ac 9894 140c143969e0 22c1e577 fb4a 4b3b b656 5f10935149e2 b1b1ae2a 39c0 4fb5 a168 a62c20f87c44
Dalam perkembangan sama, Choo Kiang memaklumkan bahawa beberapa lagi kerja penaiktarafan akan diteruskan selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ditangguhkan, termasuk penambahbaikan tandas Orang Kurang Upaya (OKU) berhampiran pondok pengawal.

Menurutnya, ruang stor bangunan DUN juga akan diubah suai bagi memastikan penyimpanan barangan dan peralatan am persidangan dapat diuruskan dengan lebih teratur.

“Selain itu, Bilik Pegawai Khas diwujudkan dengan kelengkapan ruang kerja yang komprehensif, termasuk kemudahan percetakan dan peralatan audiovisual, manakala Bilik Mesyuarat DUN dinaik taraf bagi menampung kapasiti sehingga 25 orang pada satu-satu masa.

“Ruang khas sidang media turut ditambah baik bagi memastikan pengamal media dapat menjalankan tugas membuat liputan persidangan dalam keadaan lebih selesa,” jelasnya.

Pada masa sama, Choo Kiang menyifatkan penaiktarafan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselesaan, kebajikan dan kecekapan operasi persidangan DUN sentiasa diberi perhatian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan dan berharap penambahbaikan itu dapat mewujudkan persekitaran kerja serta persidangan yang lebih kondusif, cekap dan selesa kepada semua pihak berkepentingan.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow turut meluangkan masa ke majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; ADUN Berapit, Heng Lee Lee dan ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN