GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM3.255 juta bagi menyalurkan bantuan one-off sebanyak RM500 kepada 6,510 pesawah dan petani sayur di negeri ini sebagai usaha meringankan beban kos operasi pertanian.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, Kerajaan Negeri memahami bahawa bantuan berkenaan bukanlah penyelesaian menyeluruh terhadap peningkatan kos operasi pertanian, namun inisiatif itu merupakan tanda penghargaan dan sokongan langsung kepada golongan yang menjadi tulang belakang pengeluaran makanan negeri ini.
“Kesinambungan inisiatif ini pada tahun hadapan akan terus dipertimbangkan berdasarkan kedudukan kewangan serta keutamaan belanjawan tahunan kerajaan negeri,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Rashidi menegaskan bahawa sokongan kepada golongan petani tidak seharusnya tertumpu kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi penyediaan peralatan, khidmat pengembangan, latihan, penggunaan teknologi, kawalan perosak dan penyakit tanaman serta penambahbaikan infrastruktur pertanian.
Menyentuh isu serangan keladi agas yang membimbangkan pesawah, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan petugas sejak Mei 2023 bagi melaksanakan usaha pembendungan, penghapusan dan kawalan perosak itu secara bersepadu serta berterusan.
Jelasnya, sebanyak RM400,000 diperuntukkan pada musim kedua 2023 bagi melaksanakan kawalan keladi agas di kawasan seluas 74.4 hektar melibatkan dua daerah.
“Usaha berkenaan berjaya mengurangkan keluasan infestasi sebanyak 64.15 peratus pada musim pertama 2024.
“Pada tahun 2025, usaha kawalan diteruskan menerusi 12 siri kempen dan taklimat serta pelaksanaan petak demonstrasi Rice Check seluas empat hektar di Seberang Perai Utara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.
Tambah Rashidi, langkah kawalan dilaksanakan secara menyeluruh bermula daripada peringkat penyediaan tanah hingga pertumbuhan padi, termasuk pembajakan sempurna, pengurusan paras air dan penggunaan racun rumpai mengikut syor teknikal.
“Pesawah turut diberikan bimbingan mengenai kaedah serta tempoh kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan keperluan rawatan berulang dan risiko terhadap tanaman.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pemantauan serta bancian kawasan infestasi di samping menyediakan khidmat nasihat teknikal kepada pesawah,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas isu tali air yang dipenuhi semak samun dan memerlukan kerja pembersihan serta penyelenggaraan berkala, khususnya di kawasan Guar Perahu, Guar Jering, Padang Temusu dan Kampung Terus, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara tersebut.
Beliau mengakui sistem pengairan dan saliran yang berfungsi dengan baik amat penting bagi memastikan kelancaran aktiviti penanaman padi.
Walau bagaimanapun, katanya, gangguan bekalan air bukan sahaja berpunca daripada keadaan tali air, malah turut dipengaruhi keadaan petak sawah, kerataan tanah dan fungsi parit ladang.
“Hasil perbincangan teknikal bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati ketidakselarasan jadual bekalan air dengan aktiviti penanaman turut menjadi antara faktor yang menjejaskan agihan air.
“Justeru, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada penilaian kesan gangguan bekalan air terhadap tanaman, mengenal pasti keperluan pemulihan di peringkat ladang serta menyediakan bimbingan teknikal kepada pesawah,” katanya.
Beliau berkata, tindakan berkenaan akan diselaraskan bersama aspek penyelenggaraan sistem saliran serta penjadualan bekalan air mengikut aktiviti penyediaan tanah dan penaburan benih.
Dalam masa sama, kerjasama pesawah menerusi Kumpulan Pengguna Air juga penting bagi memastikan pengurusan bekalan air di setiap blok pengairan dilaksanakan secara teratur serta mengambil kira keperluan sebenar di lapangan.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS