PRN: Kon Yeow harap perubahan landskap politik beri kelebihan kepada calon PH, BN

Admin
CHOW Kon Yeow dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45 Anjuran Malaysian Hindu Sangam (MHS) Batu Kawan Local Council Bersama Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Valdor dekat Bukit Tambun di sini pada 15 Julai 2023.

BUKIT TAMBUN – Perikatan Nasional (PN) yang berjaya memenangi tiga kerusi Parlimen Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa bulan November tahun lepas memang akan ada kelebihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kian kunjung tiba sekiranya landskap politik negeri masih menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa PRN Pulau Pinang nanti menyaksikan PH dan BN menjadi satu gabungan baharu atas semangat ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ bagi menghadapi PN.

Justeru, beliau berharap dengan perubahan landskap politik negara dan negeri sekarang akan memberi kelebihan kepada semua calon PH dan BN dalam PRN nanti, seterusnya berjaya menubuhkan ‘Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang’.

“Kalau buat perbandingan, dulu (semasa PRU15) tiga gabungan parti politik berebut sokongan… (dalam PRN) sekarang PH sudah bekerjasama dengan BN.

“Maka, kalau boleh penyokong dari dua gabungan ini akan sokong calon dalam bentuk kerjasama politik, ia akan merapatkan jurang (peluang untuk menang PRN),” responsnya seusai merasmikan Pertandingan Bacaan Thirumurai Ke-45 Anjuran Malaysian Hindu Sangam Batu Kawan Local Council Bersama-sama Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Valdor di sini pada 15 Julai 2023.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sentimen pengundi juga akan dipengaruhi oleh perubahan Kerajaan Persekutuan pasca PRU15, yang mana kini berpindah tangan kepada Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim.

“Apakah dalam tujuh lapan bulan ini di bawah Datuk Seri (Utama) Anwar Ibrahim (sebagai Perdana Menteri Malaysia), rakyat dapat lihat apa-apa harapan dalam urus tadbir Kerajaan Perpaduan ini.

“Ini, unsur-unsur baharu yang boleh mempengaruhi sentimen pengundi,” ujarnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa gabungan parti politik PH dan BN mempunyai peluang untuk meraih sokongan pengundi PRN Pulau Pinang berdasarkan rekod tadbir urus Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya selama sepenggal sejak tahun 2018.

“(PRN) sekarang, fokus kepada isu-isu negeri… kita akan tonjolkan prestasi (tadbir urus Kerajaan Negeri) dalam tempoh sepenggal selama lima tahun ini.

“Apakah rakyat berpuas hati dengan prestasi kita (Kerajaan Negeri) termasuk dalam soal menunaikan manifesto Visi Penang2030,” ulasnya.

Sebagai rekod, Kon Yeow dalam PRU15 pada tahun lepas bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Batu Kawan.

Semasa PRU14 pada tahun 2018, beliau bertanding dan menang di kerusi Parlimen Tanjong dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota.

Semasa itu, Kon Yeow ditaklifkan menjadi Ketua Menteri serta memegang portfolio Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Semasa Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Kon Yeow, Pulau Pinang pada tahun 2021 mendahului negeri-negeri lain dengan rekod nilai eksport bernilai RM354 bilion.

Momentum perdagangan luar negeri di Pulau Pinang pula melonjak naik 27 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya, dengan nilai eksport pada waktu itu berada pada paras tertinggi sebanyak RM452 bilion serta mewakili 29 peratus daripada keseluruhan jumlah nilai eksport negara.

Daripada segi pelaburan, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan antara penyumbang utama negara, setelah mencatatkan RM14 bilion dalam pelaburan pembuatannya yang diluluskan pada 2022 serta mewakili 16 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan pembuatan negara.

Pelaburan langsung asing (FDI) pula dicatatkan sebanyak RM9.7 bilion atau 71 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan bagi tahun 2022 yang mana baki RM4 bilion atau 29 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI)

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap segala rekod prestasi tadbir urus ekonomi negeri selama lima tahun kebelakangan ini juga akan mempengaruhi sentimen pengundi serta memberi kelebihan kepada gabungan parti politik PH-BN dalam PRN nanti.

“FDI pun, kita (Pulau Pinang) pernah capai nombor satu, pembangunan ekonomi rancak, (peluang) pekerjaan banyak, itulah faktor yang rakyat perlu menilai (semasa PRN ini),” serunya.