Wanita perlu dihargai setiap masa, bukan pada 8 Mac sahaja – ADUN

Admin
A. Kumaresan (kemeja putih) bersama Nurul Izzah Anwar (berbaju kuning) meluangkan masa melawat gerai jualan barangan kraf pada sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat DUN Batu Uban baru-baru ini.

BATU UBAN – Tanpa restu dua orang wanita terpenting dalam hidup tidak mungkin beliau kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, ujar A. Kumaresan.

Jelasnya, restu dari dua individu yang dimaksudkan iaitu ibu dan isterinya amat penting sebelum manggalas tanggungjawab sebagai ADUN yang perlu berkhidmat kepada masyarakat di Batu Uban khususnya.

“Tidak mungkin saya dapat berdiri di sini sekiranya ibu dan isteri saya tidak menyokong dan paling penting adalah restu dari mereka berdua.

“Apabila bergelar ADUN masa hujung minggu saya mungkin tiada di rumah, jadi semua tanggungjawab seperti menjaga anak digalas oleh isteri… jadi kita (lelaki) mesti menghargai golongan wanita bukan sahaja pada 8 Mac tetapi setiap masa,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat DUN Batu Uban di Kompleks Bukit Jambul di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan wakil Badan Pengurusan (JMB) Kompleks Bukit Jambul.

Dalam pada itu, Nurul Izah ketika berucap mencadangkan agar  Kumaresan dapat membantu golongan wanita khususnya ibu tunggal di kawasan berkenan.

“Saya memuji usaha Pusat Khidmat ADUN Batu Uban hari ini dengan menyediakan gerai-gerai untuk berniaga… kalau boleh saya mohon untuk bantu usahawan-usahawan wanita di kawasan ini untuk lebih berdaya saing dan mampu berdikari dalam memajukan taraf hidup,” ujarnya.

Pada sambutan yang berlangsung pada 8 dan 9 Mac itu, pelbagai acara menarik diadakan seperti Santai Barbeku, seminar, Zumba In Purple, pertunjukkan seni bela diri, demonstrasi masakan, membuat kraftangan rotan, kaunter i-Sejahtera dan Bantuan Sara Hidup bagi tujuan pengemaskinian, pemeriksaan kesihatan dan gerai usahawan.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI