BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri berharap peluasan inisiatif Program i-Sejahtera menerusi Program Mempelai Emas dengan RM500 secara sekali beri (one-off) mulai tahun depan dapat meningkatkan serta memperkembang kadar populasi warga negeri ini ke tahap yang lebih sihat bagi mendepani cabaran penuaan penduduk.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, langkah tersebut diambil sebagai galakan serta usaha menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat memandangkan Pulau Pinang dijangka menjadi negeri menua dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) harap rakyat sendiri prihatin tentang kadar populasi yang semakin menua dan kadar kelahiran yang semakin menurun.
“Dalam beberapa tahun lagi, Pulau Pinang akan menjadi negeri menua,” ujarnya ketika ditemui pemberita, seusai menyampaikan 200 hamper pada Majlis Jamuan Deepavali MADANI dan Kesejahteraan Pengguna 2026 anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik selaku tuan rumah.
Kon Yeow menambah, pemberian insentif secara sekali beri (one-off) bernilai RM500 di bawah program tersebut merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan kelangsungan pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Melalui ini, ia sebagai galakan sahaja untuk menyemai kesedaran (yang mana) kita sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan populasi kita kekal dalam satu paras yang baik untuk pembangunan masa depan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Ketika ditanya mengenai kelayakan penerima, Kon Yeow menegaskan bahawa insentif berkenaan dikhususkan untuk pasangan yang mendirikan rumah tangga buat kali pertama tanpa mengehadkan faktor umur.
“Untuk perkahwinan pertama sahaja… umur tiada had, tiada hal (yang mana) kalau kerana RM500 ada yang nak kahwin, kita amat mengalu-alukan, tetapi saya rasa itu bukan tujuan utama kita.
“Apa yang penting adalah kesedaran bahawa populasi yang sihat menjamin pembangunan yang sihat,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menganggarkan beberapa ribu pendaftaran bakal diterima memandangkan kadar pendaftaran perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika ini merekodkan angka yang agak rendah.
Bagaimanapun menurutnya, insentif ini hanya akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2027, manakala butiran lanjut mengenai pendaftaran akan diumumkan kelak.
Selain Program Mempelai Emas, Kon Yeow turut memaklumkan peluasan bantuan one-off RM600 kepada pemandu e-hailing pada tahun ini, menyertai pemandu teksi dan bas sekolah yang telah menerima inisiatif pemerkasaan pengangkutan awam di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sejak lebih 10 tahun lalu.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS