BATU MAUNG – Kerajaan Negeri melalui Silicon Island Development Sdn. Bhd. (SIDSB) menambah bilangan pembekal bot daripada satu kepada tiga syarikat bagi mempercepatkan bantuan di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
Langkah ini diambil setelah menerima cadangan daripada nelayan terlibat, sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan dan kehendak komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Dato’ Seri Farizan Darus memaklumkan bahawa sasaran Kerajaan Negeri adalah untuk menyempurnakan bekalan bot dan enjin baharu kepada kesemua tekong Tahap 1 yang berkelayakan pada separuh tahun kedua 2027.
“Setakat ini, seramai 148 nelayan atau 50 peratus daripada 294 tekong yang aktif telah menerima bantuan tersebut dengan peruntukan mencecah RM13.32 juta,” ujarnya pada Majlis Jalinan Aidilfitri Bersama Komuniti Nelayan anjuran SIDSB dekar Dewan Serbaguna Batu Maung di sini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Dan Tanah Barat Daya (DBD), Dato’ Rosli Halim, Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan SIDSB, Azmi Mohamad serta wakil agensi dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang dan Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS).
Dalam pada itu Farizan turut mengemas kini usaha-usaha proaktif yang telah bermula sejak Mac 6 untuk menangani isu navigasi dan mendapan selut di kawasan Permatang Damar Laut.
Tambahnya, kerja-kerja pengorekan bagi mendalamkan terusan sememangnya disyaratkan di dalam kelulusan impak pengurusan alam sekitar (EIA), namun mengikut perancangan asal, komitmen PICSB untuk menyediakan saluran navigasi ini hanya setelah projek pulau tersebut siap sepenuhnya sekitar tahun 2030 (Fasa 1).
“Walau bagaimanapun, setelah mendengar rintihan dan mendapati bahawa mendapan berkenaan telah menimbulkan masalah untuk laluan ke laut dan ia menjadi satu keperluan mendesak para nelayan di Unit Permatang Tepi Laut, kami telah memutuskan untuk memberi keutamaan dan memulakan kerja-kerja ini lebih awal daripada jadual asal.
“Kerja-kerja pengorekan hanya dapat dijalankan dengan efektif mengikut jadual pasang surut tertentu bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan operasi.
“Walaupun berdepan kekangan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri memberi jaminan dan tetap komited untuk mengutamakan kerja-kerja tersebut demi memastikan kelancaran laluan bot nelayan supaya boleh turun ke laut dengan lebih mudah lagi lancar,” jelasnya lagi.
Mohamad dalam pada itu menegaskan bahawa falsafah pembangunan Kerajaan Negeri adalah berteraskan prinsip pembangunan inklusif melalui Silicon Island yang bakal membuka 220,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor teknologi tinggi.
Justeru, beliau menyeru para nelayan agar mengutamakan kecemerlangan pendidikan anak-anak sebagai persediaan menjadi tenaga kerja masa hadapan negeri yang mampu bersaing dalam dunia moden tanpa melupakan akar umbi mereka.
“Dari aspek kelestarian, Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) telah melaksanakan langkah rintis pemulihan stok marin melalui pelepasan ikan dan udang harimau dengan kerjasama Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Pulau Pinang dan LKIM.
“Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan penanaman lebih 24,200 pokok bakau setakat ini bagi memperkukuh benteng semula jadi pesisir pantai dalam jangka masa panjang,” katanya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING