Projek bio-kejuruteraan pulih Sg. Satu

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TANJONG BUNGAProjek biokejuruteraan menggunakan teknologi Jerman yang memperlihatkan kerjasama syarikat korporat dan Kerajaan Negeri dalam usaha penjagaan alam sekitar membuahkan hasil apabila Berjaya memulihkan tahap pencemaran Sungai Satu, Batu Feringghi di sini baru-baru ini.

Projek bernilai RM2 juta menggunakan mekanisme perangkap sampah serta mengalihkan sedikit aliran sungai ke kawasan penapisan air serta mengairi kawasan penanaman pokok berhampiran adalah membabitkan syarikat pembinaan, Selangor Dredging Berhad (SDB).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek tersebut bukan hanya merangkumi pemulihan sungai sematamata, malahan ianya menjangkaui contoh kerjasama antara sebuah Kerajaan Negeri bersama pihak swasta dalam menjaga alam sekitar.

“Selain itu, kerjasama ini juga dilihat memberi tambah nilai kepada penduduk setempat dalam menjalani kehidupan seharian lebih berkualiti iaitu menggalakkan pertambahan habitat bagi flora serta fauna yang berada di sekeliling kawasan sungai yang bersih,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Pemulihan Sungai Satu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Lanjutan itu, Guan Eng menyatakan bahawa teknologi yang sama mungkin akan dipelajari dan diaplikasikan ke atas Sungai Juru dan Sungai Pinang di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SDB, Teh Lip Kim melahirkan rasa bangga ekoran dapat memulihkan kualiti Sungai Satu dan sekelilingnya dengan ketara.

“Saya melahirkan rasa berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memulihkan kawasan ini seperti menanam pokok, membuat teres tebing sungai, perangkap sampah dan membangunkan bangunan konsep hijau di tepi Sungai Satu,” jelasnya.