Projek My Seri Delima platform menyatupadukan komuniti selaras visi Penang2030 – ADUN

Admin

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid hari ini melancarkan Projek My Seri Delima dekat Taman Kejiranan Jalan Gangsa, di sini.

Beliau berkata, projek berkenaan adalah salah satu inisiatif yang terkandung di dalam manifesto bagi kawasan Seri Delima pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Syeerlena Abdul Rashid bersama-sama Addnan Mohd. Razali menyiram pokok Takoma yang ditanam sempena pelancaran Projek My Seri Delima dekat Taman Kejiranan Jalan Gangsa.

“My Seri Delima merupakan satu platform untuk menyatupadukan masyarakat di Seri Delima, selaras dengan visi Penang2030 yang menekankan pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

“(Dan) Taman Kejiranan Jalan Gangsa juga termasuk sebagai salah satu daripada taman-taman yang telah disenaraikan bagi penganjuran projek ini.

“Oleh itu, kita telah membina pergola berbumbung dengan kos sebanyak RM33,900 serta laluan pejalan kaki untuk orang kurang upaya (OKU) berjumlah RM14,196 bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada mesyarakat semasa melakukan aktiviti di sini.

“Malah, saya juga telah mencadangkan kepada pihak MBPP supaya menyediakan tong sampah serta tong kitar semula di kawasan taman-taman di sini bagi mengekalkan kebersihan,” ujarnya semasa merasmikan projek berkenaan, sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali.

Mengulas lanjut, Syeerlena menjelaskan bahawa beliau turut merangka beberapa inisiatif untuk menambah baik serta mengindahkan sungai dan jambatan kayu dekat Japanese Garden bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke kawasan terbabit.

“Dan pada masa akan datang, kita juga akan melaksanakan pembaikan jambatan kayu yang menelan kos lebih RM15,000,” jelasnya lagi.

Turut berlangsung adalah acara penanaman empat batang pokok Takoma yang bakal menghiasi taman kejiranan berkenaan pada masa akan datang.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN