Projek pembesaran PIA dapat kebenaran merancang, kerja pembinaan dijangka bermula Mac 2020

Admin

GEORGE TOWN – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas telah mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 3 Disember lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan perkara itu pada sidang media dekat Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, di sini sebentar tadi.

Ilustrasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas selesai projek pembesaran kelak.

Menurut Jagdeep, projek yang menelan kos kira-kira RM800 juta tersebut dijangka bermula pada Mac tahun depan (2020) dan (dijangka) selesai pada 14 Januari 2024.

“MBPP dalam mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) telahpun meluluskan kebenaran merancang bagi projek pembesaran PIA yang akan dilaksanakan melalui empat fasa.

“Fasa pertama adalah melibatkan pembinaan apron parkir dan jalan rayap serta infrastruktur lain.

“Fasa kedua pula melibatkan cadangan meroboh dan membina semula termasuk bangunan Menara kawalan trafik udara, bangunan dua tingkat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta bangunan Jabatan Meteorologi.

“Selain itu, turut dicadangkan adalah pembinaan satu unit bangunan dua tingkat Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang serta bangunan Unit Bencana Udara.

“Pembinaan ruangan tambahan ini mampu meningkatkan kapasiti penumpang di terminal PIA daripada 6.5 juta kepada 12 juta setahun,” ujarnya.

Hadir sama, wakil Datuk Bandar MBPP, Zuraini Mat Rasit; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Timbalan Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia@ Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman serta Pengurus Besar Ahs Architects Sdn. Bhd. yang juga perunding utama projek, Datuk Ar. Abu Hassan Salleh.

Dalam pada itu, Abu Hassan memberitahu bahawa pembesaran PIA adalah melibatkan penambahan dua kali ganda keluasan terminal berbanding 54,000 meter persegi pada hari ini.

“Projek ini juga dijangka mampu menampung sehingga 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding hanya 15 pesawat pada waktu ini.

“Justeru, projek pembesaran ini akan memfokuskan bahagian utara terlebih dahulu supaya tidak mengganggu operasi di terminal utama dan selepas semua telah siap, barulah kerja di terminal utama akan dimulakan,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD