‘Pulau keempat’ pada asalnya dicadang untuk pembinaan lapangan terbang Pulau Pinang – Exco

GEORGE TOWN – ‘Pulau keempat’ yang terdapat di dalam peta indikatif Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 adalah pada asalnya dicadangkan untuk pembinaan lapangan terbang Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ia dimasukkan pada perbincangan akhir RSNPP 2030 sebelum cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dikemukakan.

“Untuk makluman, dua kawasan di dalam peta indikatif iaitu di bahagian utara yang menempatkan Jambatan Pertama Pulau Pinang sebenarnya telah ada dalam RSNPP 2007 dan kita putuskan untuk kekalkan.

Peta indikatif RSNPP 2030 yang diwartakan pada 24 Oktober lalu.

“Keduanya adalah di bahagian selatan iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang yang mana terdapat cadangan untuk menambak satu pulau khusus bagi pembinaan PIA dan perkara ini dimasukkan pada akhir perbincangan RSNPP 2030.

“Walau bagaimanapun, kebetulan pada masa itu juga ada cadangan daripada pihak ketiga termasuk Kerajaan Persekutuan untuk membina lapangan terbang yang besar bagi menampung penumpang di seluruh wilayah utara (KXP), dan pada masa sama cadangan untuk pembesaran PIA juga turut diumumkan.

“Jadi, ini sebabnya mengapa ‘pulau keempat’ dimasukkan di dalam peta indikatif RSNPP 2030,” jelasnya pada sidang media dekat Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dekat sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan berkaitan desas-desus wujudnya pulau keempat berhampiran Projek Tambakan Laut di Perairan Selatan Pulau Pulau Pinang (PSR) yang dirujuk berdasarkan peta indikatif RSNPP 2030.

Hadir sama, wakil Datuk Bandar MBPP, Zuraini Mat Rasit; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Timbalan Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia@ Pulau Pinang, Mohd. Bashir Sulaiman serta Pengurus Besar Ahs Architects Sdn. Bhd. yang juga perunding utama projek, Datuk Ar. Abu Hassan Salleh.

Semalam, Jagdeep turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak berhasrat membangunkan ‘pulau keempat’ berhampiran PSR.

“Tiada rancangan untuk menambak atau menjadikan pulau keempat berhampiran PSR, ia masih sepertimana yang terdapat dalam Pelan Struktur Pulau Pinang 2030.

“Ketika ini, Kerajaan Negeri hanya membangunkan empat projek penambakan iaitu PSR, Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2), penambakan berhampiran Gurney Drive iaitu projek Gurney Wharf dan projek penambakan di kawasan Butterworth oleh Rayston Consortium (Butterworth) Sdn. Bhd.,” katanya dipetik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RAZDI

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD