Projek perintis ‘Membawa Balik Sampah’, usaha tangani isu pembuangan sampah merata-rata

Admin
taman linear TAMAN Linear, Esplanade yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan para pelancong.

GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan berharap projek perintis ‘Membawa Balik Sampah’ menjadi titik kesedaran orang ramai supaya tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di merata-rata tempat.

Ming Quan berkata demikian ketika ditemui dalam sesi wawancara khas di Linear Garden dekat Jalan Padang Kota Lama di sini pagi ini.

Menurut Ming Quan, projek dengan kerjasama Penang Green Council (PCG) itu bukanlah suatu konsep yang baharu, sebaliknya telah lama diterapkan di negara lain.

benji ang ming quan
BENJI Ang Ming Quan ketika ditemui di Linear Garden, tadi.

Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita melaksanakannya di Pulau Pinang sama seperti kempen tiada plastik sebelum ini.

“Fasa seterusnya kita akan menyediakan sekurang-kurangnya lima papan tanda yang bersesuaian dengan konsep warisan di sekitar kawasan taman ini bagi tidak mengelirukan para pengunjung yang datang,” katanya.

Tambahnya lagi, projek tersebut akan mula dilaksanakan pada pertengahan bulan Mei ini dan akan diperluaskan ke seluruh negeri pada masa yang akan datang.

“Kebanyakan orang masih membuat permintaan untuk perbanyakkan tong sampah di sini tetapi lebih banyak tong sampah pun tidak membantu kebersihan kawasan ini juga, orang ramai tetap akan membuang sampah di mana-mana,” ujarnya.

whatsapp image 2024 04 04 at 4.55.36 pm
SALAH seorang ‘Wira Baju Hijau’ membersihkan kawasan sekitar Linear Garden di sini.

Mengulas lanjut, Ming Quan memberitahu bahawa pemilihan lokasi tersebut sebagai projek perintis adalah kerana keluasannya yang tidak begitu besar.

“Lagipun, taman ini juga berhampiran dengan bangunan MBPP yang membolehkan pihak MBPP melakukan pemantauan secara berkala dengan menempatkan seorang pegawai di situ bagi memberi nasihat kepada orang ramai mengenai amalan tersebut.

Kami (MBPP)  juga merancang untuk menaik taraf dan menambah beberapa kamera litar tertutup (CCTV) dengan sistem Kecerdasan Buatan (AI) di sepanjang taman untuk menangkap perbuatan kutu sampah dengan lebih efektif.

“Sekiranya mana-mana kutu sampah ditangkap membuang sampah, perbuatan mereka yang dirakamkan akan dimuat naik ke laman sosial MBPP,” tegas Ming Quan.

whatsapp image 2024 04 04 at 4.56.59 pm
BENJI Ang Ming Quan (dua dari kanan) ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara di lokasi.

Difahamkan, kawasan di sekitar Linear Garden tersebut merupakan tempat yang sering dilawati oleh kedutaan dari luar negara, jadi faktor kebersihan amat dititikberatkan bagi memberi pandangan yang positif kepada pihak luar.

“Kami berharap inisiatif ini akan membawa kebaikan kepada masyarakat dan para pengunjung yang mengunjungi Linear Garden ini memandangkan kawasan ini merupakan salah satu kawasan warisan dan menjadi tumpuan para pelancong,” katanya mengakhiri pertemuan.

 

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : SIEW CHIA EN