Projek tebatan banjir Taman Bunga Raya fasa 1 capai 60%, jangka siap awal 2023

Admin

SUNGAI PUYU – Projek tebatan banjir Taman Bunga Raya fasa 1 dekat sini yang menelan kos RM1.17 juta kini mencapai kemajuan pada tahap 60 peratus dan dijangka siap pada awal tahun depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow akon Yeow berkata bahawa pelaksanaan projek tersebut dapat membantu mengurangkan isu banjir kilat dan memberi manfaat kepada kira-kira 250 kediaman di kawasan berkaitan serta kawasan sekitar.

“Komponen projek ini adalah melibatkan penaiktarafan parit sedia ada iaitu daripada 300 milimeter (mm) x 300mm kepada 600mm x 600mm di sepanjang 350 meter (m) membabitkan empat lorong Taman Bunga Raya 2.

Mendengar taklimat berkaitan kemajuan projek tebatan banjir Taman Bunga Raya fasa 1 daripada MBSP yang merupakan agensi pelaksana.

“Selain itu, ia juga akan melibatkan kerja-kerja pemasangan ‘box culvert’ bersaiz 1200mm x 1200mm sepanjang 100m di Jalan Bunga Raya 2 serta pembinaan kolam takungan berkapasiti 800 meter padu dan rumah pam baharu bersebelahan parit monsun sedia ada.

“Pelaksanaan projek ini akan memakan masa selama 12 bulan iaitu mulai Januari 2022 dan dijangka siap pada Januari tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke tapak projek berkaitan sempena Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Bagan di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Infrastruktur dan Utiliti, Zairil Khir Johari; Exco Kebajikan dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP serta Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Zulkifli Rashid.

Menyantuni penduduk setempat.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Exco Tebatan Banjir pada 22 Ogos lalu juga telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan fasa 2 projek berkaitan membabitkan kos RM3 juta.

“MBSP sebagai pelaksana projek akan membuka tander bagi pelaksanaan fasa 2 yang dijadualkan pada Mac tahun depan selepas semua kerja-kerja teknikal siap dilaksanakan.

“Pelaksanaan fasa 2 projek ini mungkin mengambil masa agak lama kerana ia membabitkan agensi-agensi lain yang mana pembinaan parit pintasan dicadang akan memasuki Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) selain turut melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi, kita berharap dengan adanya projek-projek ini akan dapat menangani masalah banjir di kawasan Taman Bunga Raya dan kawasan sekitar secara lebih berkesan,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Ketua Menteri meninjau tapak projek tebatan banjir Taman Bunga Raya pagi tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa sebanyak lima daripada lapan projek rancangan tebatan banjir (RTB) berimpak tinggi yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri semasa beliau menjawat jawatan Exco Tebatan Banjir kini telahpun siap.

“Dua projek masih dalam pelaksanaan manakala satu lagi dalam proses tender semula.

“Saya mendapati bahawa penambahbaikan dalam menangani isu banjir kilat telah mendapat maklum balas positif daripada wakil rakyat kerana ia dapat mengurangkan impak banjir kilat terhadap komuniti setempat,” ujarnya.

Sementara itu, Zairil memberitahu bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM200 juta bagi melaksanakan projek-projek RTB di seluruh negeri ini.

Zairil khir Johari.

Menurut beliau, jumlah itu termasuk RM150 juta bagi pelaksanaan lapan projek tebatan banjir berimpak tinggi yang telah bermula sejak 2014 dan RM56 juta daripada caruman perparitan yang diluluskan bagi projek berskala kecil di seluruh negeri.

“Selain peruntukan Kerajaan Negeri, kita juga menerima peruntukan RTB daripada Kerajaan Pusat berjumlah RM200 juta iaitu semasa Ahli Parlimen Bagan menjawat jawatan Menteri Kewangan.

“Malangnya, sejak kerajaan Pusat bertukar, hanya satu sahaja projek tebatan banjir Persekutuan diluluskan untuk negeri Pulau Pinang iaitu di kawasan Seberang Jaya.

“Selain itu, semua projek yang diluluskan sebelum ini adalah semasa pentadbiran Pakatan Harapan termasuk projek yang dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri ini iaitu RTB Sungai Pinang yang kini dalam proses tender.

“Usaha-usaha ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited untuk menangani isu banjir yang merupakan masalah paling kritikal yang dialami oleh penduduk di negeri ini,” ulasnya.

Sehubungan itu, Guan Eng turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada negeri Pulau Pinang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi menangani isu banjir di negeri ini.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan peruntukan bagi projek tebatan banjir tetapi kita juga mahu Kerajaan Persekutuan memainkan peranan mereka kerana Pulau Pinang menyumbang hampir RM7 bilion kepada negara pada setiap tahun,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD