Pulau Pinang pelopor perumahan bersijil hijau di Malaysia sejak dua tahun lalu, kata Exco Alam Sekitar

Admin
88f642f4 4b8b 4aa9 8539 61b7754fe39a GAMBAR kenang-kenangan sekalian barisan wakil institusi yang menang sempena berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau dan Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai 2026 Peringkat Pulau, Pulau Pinang di Hotel Royale Chulan; yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 24 November 2026.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama di negara ini yang mewajibkan pembangunan projek perumahan memenuhi piawaian pensijilan hijau sejak dua tahun lalu.

bd2aa5d7 2012 48da a08c 160387d85aa2
S. Sundarajoo

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, melalui dasar tersebut, sebarang permohonan kebenaran merancang atau pelan bangunan yang dikemukakan kepada kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan diproses, sekiranya gagal memenuhi elemen kelayakan sijil hijau.

“Saya mahu menjadikan Pulau Pinang negeri pertama di Malaysia yang membina rumah mampu milik dengan sijil kehijauan, dan Datuk Bandar tanpa berfikir dua kali memberikan sokongan penuh.

“Sejak dua tahun yang lepas, semua pelan pembangunan terutama pelan bangunan yang dikemukakan kepada kedua-dua PBT tidak akan diproses sekiranya tidak mempunyai elemen yang melayakkan projek tersebut mendapat pensijilan hijau,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Pengerusi Penang Green Council (PGC).

Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau dan Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai 2026 Peringkat Pulau, Pulau Pinang di Hotel Royale Chulan; yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 24 November 2026.

Menurut Sundarajoo, ketegasan pelaksanaan dasar itu membuktikan kepimpinan Pulau Pinang dalam menerajui agenda kelestarian negara, selari dengan pengalamannya selama 40 tahun dalam sektor pembangunan hartanah sebelum menyertai pentadbiran Kerajaan Negeri.

Selain sektor perumahan, beliau turut memaklumkan kemajuan kempen menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna dan penyedut minuman plastik yang kini menunjukkan perubahan positif dalam kalangan peniaga, termasuk peralihan kepada penggunaan beg biodegradasi dan beg kain menjelang sasaran sifar beg plastik sekali guna hujung tahun ini.

7fdfee8d fdc2 4979 afad baf690e1ed5b 9f93f6aa 6a80 411c a31b 8b8a2c9c4c3a 5e5e7b41 1c61 4de0 9e18 987ae9fa4f1c f60732b0 d8e3 43af 9f58 3a68210bd7f7

fb1e79e4 1a82 46d8 bf6d 6eb56d18a3fd
A. Rajendran

Berucap sebelum pada itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran menjelaskan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif pengurusan sisa dan kitar semula di bahagian pulau diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama rakan industri yang menyumbang kepakaran teknikal masing-masing.

Beliau berkata, syarikat ESH Resource Management Sdn. Bhd. memainkan peranan penting dalam menyumbang kepakaran pengumpulan, pengasingan dan pemprosesan bahan kitar semula seperti kertas, plastik dan logam, manakala Neo Green Malaysia Sdn. Bhd. memfokuskan kepakaran dalam pelencongan sisa tayar terpakai.

“Kerjasama strategik turut melibatkan Nestlé Malaysia menerusi Projek SAVE, kitar semula yang menyediakan kemudahan pengumpulan berserta sistem ganjaran, serta Life Line Clothing Malaysia bagi pengumpulan tekstil terpakai.

“Pendekatan bersepadu antara komuniti dan sektor swasta ini amat penting bagi merapatkan jurang kadar kitar semula di bahagian pulau yang kini berada pada paras 45 peratus berbanding sasaran 60 peratus menjelang tahun 2030,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis MBPP, Nicholas Theng Jie Wey selaku pengerusi jawatankuasa penganjuran dwi-pertandingan pada kali ini.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan program di peringkat sekolah, Rajendran memaklumkan jumlah kutipan minyak masak terpakai melalui pertandingan anjuran MBPP mencatatkan trend peningkatan konsisten setiap tahun, iaitu daripada 7,322.65 kilogram (kg) melibatkan 53 buah sekolah pada tahun 2024 kepada 11,624.50 kg (76 sekolah) pada tahun 2025, sebelum melonjak sebanyak 40 peratus kepada 16,300 kg dengan penyertaan 83 buah sekolah pada tahun ini.

Tambahnya, peningkatan kutipan tersebut turut didorong oleh insentif kenaikan kadar bayaran belian balik minyak masak terpakai daripada RM3 kepada RM3.20 sekilogram, selain lonjakan penyertaan lebih 100 peratus bagi Anugerah Sekolah Hijau yang menarik penglibatan 83 buah sekolah berbanding hanya 41 buah sekolah pada tahun lalu.

Hadir sama dalam majlis edisi ke-16 itu ialah Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Badlishah Ahmad; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Baharuddin Hashim; Pegawai Pendidikan dan Jaringan Alam Sekitar PGC, Farah Hanim Mohd. Shariff; Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Ishak Soed; serta wakil daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Pertubuhan Pencinta Alam Malaysia, dan TMD Greentech Energy.

Bagi Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Tahun 2026 kategori sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramathasar muncul johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga di tempat kedua (RM800) serta pemenang anugerah khas kutipan terbanyak (RM500), manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min di tempat ketiga (RM600).

Sementara itu, bagi kategori sekolah menengah pula menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Persekutuan dinobatkan sebagai johan (RM1,000) sekali gus memenangi kategori kutipan terbanyak (RM500), diikuti SMK Pondok Upeh di tempat kedua (RM800) dan SMK Padang Polo di tempat ketiga (RM600).

Dalam majlis sama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung Cawangan dinobatkan sebagai johan hadiah utama Anugerah Sekolah Hijau 2026 bagi kategori sekolah rendah dengan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau di tempat kedua (RM1,500) dan SJKC Wen Khai di tempat ketiga (RM1,000).

Bagi kategori sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohd. Nor Ahmad muncul johan hadiah utama dengan menerima wang tunai RM2,000 dan sijil, manakala tempat kedua disandang oleh SMK Padang Polo (RM1,500) diikuti SMK Sungai Ara di tempat ketiga (RM1,000).

Turut dirai dalam majlis berkenaan ialah penerima Anugerah Khas Sekolah Rendah iaitu SK Dato Kramat (Kecekapan Sumber Asli), SK Sungai Nibong (Inovasi dan Kreativiti), SK Batu Maung (Kebersihan dan Penghijauan) serta SJKC Chong Teik (Penglibatan Digital dan Komuniti), selain Anugerah Khas Sekolah Menengah yang dimenangi SMK Air Itam (Kecekapan Sumber Asli), SMK Datuk Haji Mohd. Nor Ahmad (Inovasi dan Kreativiti), SMK Padang Polo (Kebersihan dan Penghijauan) dan SMK Perempuan Methodist (Penglibatan Digital dan Komuniti).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD