Pulau Pinang sambut baik pewartaan Undi18, daftar pengundi automatik mulai 15 Disember

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik pengumuman mengenai pewartaan dan pelaksanaan dasar Undi18 serta pendaftaran pengundi secara automatik mulai 15 Disember 2021.

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dan amat prihatin dalam memberi pendidikan serta kesedaran berterusan kepada golongan belia mengenai hak untuk mengundi.

 

SOON Lip Chee (depan, tengah) pada sidang media di sini.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program-program yang boleh meningkatkan kesedaran kepada belia.

 

“Terdapat beberapa program kesedaran dan pendidikan yang sedang dirancang oleh PYDC bagi penganjuran tahun hadapan melibatkan biro belia dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN).

 

Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan lebih lanjut kepada belia tentang pelaksanaan Kempen Undi18, hak mengundi, pindaan umur pengundi serta umur bagi Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

 

“Saya yakin, melalui program – program yang dirancang untuk golongan belia akan meningkatkan lagi pemahaman mengenai tanggungjawab dan peranan sebagai pengundi baru,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebook Buletin Mutiara pada 2 Disember 2021.

 

Mengulas lanjut mengenai program-program yang telah dilaksanakan kini seperti Sidang Muda, Bengkel Demokrat Muda, Kempen Umur 18 Jadi Calon dan Calon 18 Edisi Pulau Pinang, Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya melalui PYDC kini berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengadakan program pendidikan melibatkan belia di institusi pengajian tinggi.

 

“Inisiatif ini sedang dalam perancangan dan perbincangan bersama-sama pihak SPR.

 

Malah, pihak Kerajaan Negeri juga sedia bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi membuka peluang kepada golongan belia mengemukakan cadangan mahupun pendapat.

 

“Selain itu, belia juga dapat mempersiapkan diri sebelum Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan meningkatkan pengetahuan dan literasi berkaitan politik dan dasar-dasar negara,” jelasnya.

 

Beliau turut menyeru, agar semua belia di negeri ini menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi baru dan mengambil peluang pelaksanaan penurunan had umur undi yang diwartakan baru-baru ini.

 

Sementara itu, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen yang hadir sama dalam sidang media tersebut, turut senada dengan Lip Chee.

 

“Pastinya saya menyambut baik pewartaaan tersebut dan berterima kasih kepada mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) yang membawa hal ini sehingga kini (pelaksanaan Undi18),” katanya.

 

ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling antara yang hadir pada sidang media berkaitan.

 

Terdahulu, memetik siaran berita dalam talian sebagai dinyatakan memaklumkan bahawa pendaftaran pengundi secara automatik dan Undi 18 telah diwartakan dan akan dilaksanakan pada 15 Disember 2021 ini. Difahamkan, makluman tersebut disiarkan menerusi tangkap layer pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Lim Wei Jiet yang turut menyifatkannya sebagai ‘kemenangan untuk demokrasi dan belia’.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD