Pulau Pinang terus main peranan penting antara pemacu utama ekonomi negara

Admin
tkm0513i

GEORGE TOWN – Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Taiwan dan Singapura kekal sebagai antara destinasi eksport utama Pulau Pinang.

Perkembangan ini sekali gus menunjukkan kedudukan strategik negeri berkenaan dalam perdagangan serantau dan global.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa Pulau Pinang terus memainkan peranan penting sebagai antara pemacu utama ekonomi negara khususnya dalam sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E), teknologi maju dan perdagangan antarabangsa.

“Dalam masa sama, Kerajaan Negeri mengambil serius pelbagai cabaran ekonomi semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta tekanan ekonomi global.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) dan akan terus bekerjasama rapat bersama MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri); MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang), Invest Penang (Invest Penang Sdn. Bhd.) serta seluruh pemain industri bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi utama pelaburan berkualiti tinggi serta hab perdagangan yang kompetitif di rantau ini.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tinggi khususnya sektor semikonduktor, IC Design dan Automation Test Equipment (ATE) bagi memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.

Tambah Choon Aik, dalam usaha memperkukuh ekosistem teknologi dan industri bernilai tinggi negeri, pelbagai program strategik terus dilaksanakan bersama SIRIM Berhad.

“Ini termasuk penganjuran Semiconductor Expo Asia (SMAX) serta Program Pocket Talk MITI Wilayah pada Julai dan September tahun lalu di SPICE, Pulau Pinang dan Ixora Hotel.

“Bagi tahun ini pula, SIRIM Berhad meneruskan program ‘Enhancing Avionics Design, Integration and Certification Capabilities in Malaysia’ pada April lalu serta akan menganjurkan SMAX pada Julai ini bagi memperkukuh ekosistem industri semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi maju di negeri ini,” jelasnya.

Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun dalam ucapannya turut menjelaskan bahawa Pulau Pinang perlu terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negeri perdagangan dan pelaburan yang berdaya tahan, progresif dan diyakini pelabur.

“Pada tahun lalu sahaja, Pulau Pinang berjaya merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion dengan pelaburan domestik dan pelaburan asing masing-masing berjumlah RM38.85 bilion dan RM25.10 bilion.

“Ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur tempatan serta antarabangsa terhadap Pulau Pinang dan dalam aspek perdagangan pula, jumlah dagangan negeri pada tahun lalu mencecah RM956.37 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM573.91 bilion dan import RM382.46 bilion.

“Prestasi ini mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang utama eksport negara dengan sumbangan 35.7 peratus kepada keseluruhan eksport negara ini,” ulasnya lanjut.

Menurut Choon Aik lagi, momentum itu diteruskan pada suku pertama tahun ini apabila jumlah dagangan negeri mencatat RM291.68 bilion membabitkan eksport sebanyak RM184.33 bilion, dan import RM107.36 bilion dengan lebihan dagangan mencecah RM76.97 bilion.

“Lebihan dagangan yang besar ini mencerminkan daya tahan industri Pulau Pinang sebagai hub perdagangan serta pembuatan teknologi tinggi negara, dan momentum pelaburan yang berdaya tahan serta pertumbuhan perdagangan yang kuat mengukuhkan kadar penyertaan tenaga kerja terutama mereka yang berusia 15-24 di negeri ini.

“Malah, bagi suku tahun pertama tahun ini sahaja, ia berada pada 71.8 peratus berbanding 71.6 peratus bagi suku tahun ktempat tahun lalu, manakala kadar pengangguran termasuk kumpulan usia yang sama berada pada kadar 2.7 peratus, yang mana ia lebih rendah daripada kadar pengangguran negara iaitu 2.9 peratus.

“Pertumbuhan eksport sebanyak 46.2 peratus secara langsung menyokong pertumbuhan sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan profesional tempatan,” katanya.

Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : DARWINA. MOHD DAUD