Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri beroperasi mulai 15 September

GEORGE TOWN – Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mula beroperasi mulai 15 September ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pagi tadi dan laporan tersebut disahkan oleh Pengerusi Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri yang juga Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diwujudkan untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas atau ‘response time’ bagi pemantauan kontak rapat dan pesakit COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri semasa mengadakan sidang media sebentar tadi.

“Ia merupakan tambahan daripada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre, Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang dan Careline PgCare Alliance,” katanya pada kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sebagai permulaan kata Kon Yeow, sebanyak lima talian akan beroperasi di pusat panggilan yang bakal ditempatkan dekat Tingkat 24, Menara Komtar dan waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Malah, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga 10 malam sekiranya diperlukan dan nombor talian khas tiga digit juga akan diwujudkan dan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Pengoperasian ‘Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri’ disediakan dalam empat bahasa utama iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin/Hokkien dan bahasa Tamil.

“Operasi ini bakal diketuai oleh Pegawai Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dibantu oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa penubuhan pusat operasi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang dan lain-lain agensi.

Peralatan perubatan yang disumbangkan oleh IdealCare Sdn. Bhd. dan Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd..

“Umumnya, maklumat senarai pesakit-pesakit dikuarantin akan dibekalkan oleh JKNPP, dan ‘Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri’ akan menyelaras keperluan mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain berkaitan,” ulasnya.

Terdahulu, Kon Yeow menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada IdealCare Sdn. Bhd. bernilai RM150,000 dan Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd. (RM12,000) kepada Kerajaan Negeri.

Sumbangan tersebut adalah merangkumi 1,000 helai ‘isolation gown’, pelindung muka (5,000 unit), pelitup muka N95 (20,000 unit), pelitup muka tiga lapis (200,000 unit) serta medical jumpsuits (500 helai).

Beliau menyatakan bahawa sumbangan tersebut adalah penting bagi memenuhi keperluan harian frontliners yang sedang bertugas di fasiliti perubatan seluruh negeri ini sama ada di hospital, klinik atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah.

“Kita dapati ramai frontliners baik dari bahagian perubatan, agensi-agensi penguatkuasaan mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dijangkiti COVID-19 semasa menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka.

Ketua Menteri meneliti peralatan yang disumbangkan.

“Ini adalah pengorbanan dalam memerangi pandemik COVID-19, dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua frontliners yang telah menempuh pelbagai cabaran demi melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow mewakili rakyat Pulau Pinang menzahirkan ucapan penghargaan kepada IdealCare Sdn. Bhd. dan Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd. atas sumbangan yang diberikan.

“Sumbangan daripada sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan akan memberi galakan kepada frontliners untuk terus bertahan dalam keadaan amat mencabar ini sehingga kita berjaya mencapai kemenangan,” ujarnya.

Hadir sama, Boon Poh; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan wakil PgCare Alliance, Datuk Seri Ooi Eng Hock.

Ketua Eksekutif Ideal Care Sdn. Bhd., Datuk Dr. Haminnuddin Abd. Hamid; Pengurus Pembangunan, Mazlan Shamsuddin dan Pegawai Pembangunan Perniagaan, Nurulhusna Zamri serta wakil dari Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd. diketuai oleh Pengurus Besarnya, SK Chong, Pegawai Kewangan, SP Kheng dan Pengurus Operasi, SL Kwek juga turut hadir.

Wakil daripada Swift Bridge Technologies Sdn. Bhd. dan IdealCare Sdh. Bhd..

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa lonjakan kes COVID-19 mutakhir kini telah menyebabkan sistem kesihatan di negeri ini berdepan cabaran besar terutamanya daripada segi kelengkapan perubatan.

“Pulau Pinang kini berdepan masalah kekurangan peralatan perubatan termasuk bekalan oksigen ke wad-wad COVID-19, ambulans, kemudahan logistik, keberkesanan pusat operasi CAC, keperluan melengkapkan PKRC dan sebagainya.

“Justeru, YB Phee Bon Poh (Boon Poh) yang baru dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri perlu menggembleng tenaga untuk mengisi kekurangan dalam sistem perubatan awam kita.

“Di sini juga, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar memainkan peranan masing-masing supaya penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal demi keselamatan bersama,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN