Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang projek perintis negeri

Admin
KETUA Menteri diiringi Phee Boon Poh (kiri) terus meluangkan masa melawat ruang asrama seusai majlis perasmian pembukaan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini pada 16 Jun 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mara setapak lagi ke depan dalam usaha memperkasa pembangunan sosial rakyat dengan melancarkan operasi pembukaan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang, Jalan C. Y. Choy di sini pada tengah hari ini (16 Jun 2023).

Semasa merasmikan majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pembukaan pusat itu dengan penglibatan pelbagai pihak akan menjadi projek perintis kepada projek-projek pemerkasaan pembangunan sosial rakyat lain pada masa hadapan di negeri ini.

“Saya percaya dengan wujudnya pusat ini, ia tidak akan menyelesaikan semua masalah sosial yang melibatkan gelandangan, tetapi suatu permulaan untuk memperkasakan hidup golongan gelandangan ke tahap lebih berkualiti,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis tersebut di sini tadi.

KETUA Menteri diiringi isteri, Puan Tan Lean Kee turut mengambil kesempatan mengagihkan pek makanan kepada para tetamu yang menyertai majlis pelancaran pembukaan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini memperuntukkan sejumlah RM4.4 juta bagi merealisasikan ‘pusat transit gelandangan pertama negeri’.

Tambah beliau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula menyumbang sebidang tanah berkeluasan 1,370 meter persegi yang mempunyai seunit rumah kedai telah diisytiharkan sebagai bangunan warisan Kategori 2 untuk tapak pembangunan projek tersebut.

Berucap sebelum itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh menyatakan bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2016 telah berusaha merealisasikan projek pembangunan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang, namun tertangguh seketika dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira dua tahun sejak 2020.

“Setelah kita berjaya mengadakan program Penang Food Bank bagi mengagihkan makanan berkualiti kepada rakyat yang memerlukan, saya berharap dengan wujudnya pusat transit gelandangan ini, ia akan terus memperkasa pembangunan sosial rakyat di sini,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui JKM akan menjadi operator bagi pusat gelandangan ini.

Mengulas lanjut, Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu memberitahu bahawa ketika ini, Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang dilengkapi pelbagai kemudahan, antaranya ruang pejabat, bengkel dan seminar, ruang asrama lelaki (60 katil) dan wanita (18 katil), kafeteria, surau, ruang jemuran, ‘yard’, bilik mandi dan tandas serta ruang riadah.

Buletin Mutiara difahamkan, Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang dibina dengan konsep ‘triple net zero’ iaitu zero waste, zero energy dan zero water.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dan beberapa ADUN lain.

KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya mengalu-alukan semua pihak bukan kerajaan (NGO) dan wakil NGO yang mempunyai kepakaran untuk bersama-sama membangunkan semula potensi golongan gelandangan di pusat transit gelandangan di sini.

Menjawab soalan pemberita, Boon Poh menyatakan bahawa seseorang gelandangan boleh menghuni maksimum 14 hari untuk menerima perkhidmatan berwajib rutin daripada kakitangan JKM negeri di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING