RAC, LPNPP meterai MoU usaha sama bangunkan semula Kampung Manis

Admin
whatsapp image 2024 01 16 at 13.31.02

SEBERANG JAYA – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi membangunkan semula Kampung Manis dekat Perai menerusi kaedah usaha sama.

MoU tersebut ditandatangani di antara Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Dato’ Azhar Ahmad dan Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.

Ketika berucap, Kon Yeow berkata bahawa pemeteraian MoU tersebut menyaksikan kerjasama sulung di antara RAC dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membangunkan projek Rumah Mampu Milik (RMM) di atas Lot 286, Bandar Perai yang juga dikenali sebagai Kampung Manis.

whatsapp image 2024 01 16 at 13.31.04
Chow Kon Yeow bersama-sama Anthony Loke Siew Fook dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri menyaksikan pemeteraian MoU pembangunan semula Kampung Manis antara RAC dan LPNPP.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam pada itu berkata, MoU tersebut juga boleh diterjemah kepada Memorandum Perjanjian (MOA) sekiranya terdapat keperluan tambahan setelah Request for Proposal (RFP) dimuktamadkan kelak.

“Pembangunan di kawasan ini dilihat secara holistik memandangkan LPNPP mempunyai cadangan untuk membangunkan tapak berhampiran di atas Lot 671, Bandar Perai yang berkeluasan 9.33 ekar dan terletak 1.2 kilometer dari tapak tersebut.

“Malah, pembangunan secara menyeluruh adalah penting kerana kawasan ini merupakan lokasi kediaman tidak terancang, tidak mempunyai sistem perparitan sistematik yang menjurus kepada masalah banjir.

“Justeru, pembangunan keseluruhan bagi kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan ini akan menukar wajah penempatan sedia ada ke arah pembangunan perumahan yang lebih teratur dan efisien demi kesejahteraan masyarakat setempat,” ujarnya dalam majlis memeterai MoU tersebut dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk M. Jana Santhiran; ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San serta barisan Ahli Lembaga Pengarah LPNPP.

whatsapp image 2024 01 16 at 13.31.04 (1)
Barisan kepimpinan yang turut hadir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pembangunan semula Kampung Manis juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan ruang-ruang komersial yang dapat menjana pendapatan serta peluang pekerjaan selain penyediaan pembangunan lebih terancang dengan laluan trafik yang lebih lancar.

“Sinergi di antara gabungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang bersatu padu dalam bagi membangunkan Kampung Manis ini adalah untuk manfaat rakyat negeri Pulau Pinang.

“Justeru, saya berharap agar projek perintis pembangunan semula Kampung Manis akan membuka lebih banyak ruang untuk kolaborasi di antara RAC dan Kerajaan Negeri pada masa akan datang,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Siew Fook berkata pemeteraian MoU tersebut akan menyaksikan tiga bidang tanah milik RAC di Kampung Manis bakal berubah wajah dari perkampungan setinggan ke sebuah kawasan membangun yang moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pusat-pusat komersial.

“Konsep pembangunan yang akan direncanakan di atas tanah ini kelak bukan semata-mata mengetengahkan aspek komersial, malah terdapat komponen-komponen lain seperti hab pengangkutan, peruncitan, institusi pendidikan dan yang paling penting adalah perumahan.

“Kesemua komponen ini penting untuk mewujudkan sebuah kawasan yang membangun, yang akan memberi impak langsung kepada perkembangan sosio ekonomi dan mobiliti penduduk selain meningkatkan kebolehhunian ke arah gaya hidup yang lebih berkualiti.

“Oleh itu, peranan LPNPP adalah penting dalam membantu penyusunan semula penduduk-penduduk sedia ada di Kampung Manis dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menoktahkan pelbagai isu yang membelenggu lebih 289 keluarga di Kampung Manis melalui rancangan pembangunan semula semula kawasan tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS