WiFi percuma diperhebatkan

Admin

 

KETUA Menteri (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri , Datuk Farizan Darus (dua dari kanan) menyaksikan upacara pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara wakil REDTone International Berhad dan wakil PDC Telecommunication Sdn.Bhd..
KETUA Menteri (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri , Datuk Farizan Darus (dua dari kanan) menyaksikan upacara pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara wakil REDTone International Berhad dan wakil PDC Telecommunication Sdn.Bhd..

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperhebatkan inisiatif dalam menyediakan perkhidmatan akses internet percuma dengan menambah sebanyak 750 ‘hotspots’ wifi lagi di beberapa kawasan tumpuan awam di bahagian pulau.

Inisiatif ini telah memasuki fasa kedua dalam penyediaan “Wi-Fi Percuma Pulau Pinang”. Fasa pertama adalah fasa kelayakan yang memerlukan syarikat yang tersenarai melalui sistem tender terbuka, menyediakan 750 ‘hotspots’ dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat berkenaan tanpa mengenakan caj kepada Kerajaan Negeri. Setelah itu, syarikat berkenaan layak untuk membida bagi fasa kedua dengan kos yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi penambahan 750 ‘hotspots’ lagi.

Selaras dengan prinsip urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan terma-terma sama kepada syarikat-syarikat lain yang masih berminat untuk menyediakan perkhidmatan tersebut. Inisiatif pemasangan wifi yang julung kalinya dilaksanakan di Malaysia ini dijangka siap pemasangannya pada September 2011 ini.

Pembekal perkhidmatan akses internet percuma, REDTone International Berhad (REDTone) telah memasang 1500 ‘hotspots’ wifi di Pulau Pinang. Malah REDTone turut menawarkan pemasangan 50 ‘hotspots’ wifi lagi secara percuma sebagai tambahan wifi sedia ada.

Kerajaan Negeri, melalui PDC Telecommunication Sdn.Bhd. (PDCTelco) telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan REDTone bagi tempoh lima tahun dengan kos berjumlah RM8.5 juta yang akan ditanggung oleh PDCTelco dan Kerajaan Negeri.

Perkhidmatan akses internet percuma membolehkan bukan sahaja membolehkan warga Pulau Pinang melayari internet mengikut keselesaan dan kesesuaian masa dan tempat-tempat pilihan, malah pengunjung dan para pelancong turut dapat menikmati perkhidmatan ini tanpa batasan.

Selain itu, kesemua 40 daerah di Pulau Pinang haruslah diliputi sekurang-kurangnya dengan 10 ‘hotspots’ wifi, Ketua Menteri menegaskan dalam ucapan beliau.

Kerajaan Pakatan Rakyat untuk semua, maka wifi percuma juga adalah untuk semua,” tambah beliau mengakhiri ucapan.