Responden setuju idea penambahan Perpustakaan Digital di Seberang Perai

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berpendapat Kerajaan Negeri wajar mewujudkan lebih banyak Perpustakaan Digital di Seberang Perai demi manfaat masyarakat setempat.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan menemubual beberapa responden bagi mendapatkan pandangan mengenai penambahan Perpustakaan Digital berkenaan.

Kemudahan ruang menyiapkan kerja yang selesa.

 

Marshita Othman.

Bagi MARSHITA OTHMAN, 39, yang tinggal di Seberang Perai, beliau menyokong idea tersebut ekorang banyak kebaikan dan manfaat yang dapat diperoleh.

“Bagi saya, usaha yang mendorong ke arah pendidikan amat dialu-alukan kerana bagus untuk anak-anak terutamanya bagi memudahkan proses pembelajaran mereka.

“Meskipun kemudahan gajet dan internet telah disediakan oleh ibu bapa, anak-anak juga mungkin inginkan persekitaran lebih selesa untuk belajar atau pun mengulangkaji pelajaran,” ujarnya yang bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Barat Daya itu.

Muhammad Alif.

Juru audio visual, MUHAMMAD ALIF BIN ABDUL HAMID, 28 tahun pula menyatakan, penambahan perpustakaan digital amat diperlukan dek banyak urusan yang perlu dilakukan secara dalam talian.

“Tidak semua orang terutamanya pelajar mempunyai kemudahan internet yang mencukupi, justeru dengan adanya perpustakaan digital ini, Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) akan berjalan lebih lancar.

“Bukan sekadar pelajar sekolah, malahan pelajar universiti yang tidak berkemampuan untuk memiliki komputer riba sendiri, boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi menyiapkan tugasan yang diberikan,” jelas Alif yang menetap di Nibong Tebal.

Seorang lagi mahasiswa, AZWAN DIANGSON, 24 berkata, perpustakaan digital merupakan tempat yang selesa untuk belajar dan mengurangkan tekanan belajar.

“Saya pernah mengunjungi perpustakaan digital di Penang Free School, dan amat menyukai persekitaran di situ, malah tekanan ketika melaksanakan tugasan juga berkurangan kerana teritori yang tenang dan nyaman.

“Penambahan perpustakaan tersebut amat saya setujui kerana tidak perlu saya bergerak jauh untuk menggunakan kemudahan di situ,” tambahnya lagi.

Kanak-kanak yang sedang menggunakan kemudahan sedia ada.
Tan Lee Ling.

Sementara itu, TAN LEE LING, 36, turut bersetuju perpustakaan digital ditambah untuk menyeimbangkan jumlah perpustakaan di kedua-dua bahagian pulau.

“Perpustakaan digital di bahagian pulau sudah sebanyak tiga manakala di bahagian seberang hanya satu, maka untuk di seberang memerlukan sekurang-kurangnya tiga perpustakaan lagi untuk mencapai keseimbangan tersebut.

“Kemudahan perpustakaan juga perlu diberi perhatian, sebagai contoh, beberapa aktiviti atau kemudahan yang menerapkan pengetahuan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk memupuk keupayaan ‘creative thinking,” katanya.

Vicky Lim.

VICKY LIM, 32, pula juga menyetujui penambahan perpustakaan tersebut diperbanyakkan lagi di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) bagi kemudahan ramai.

“Saya sendiri tidak pernah ke perpustakaan digital dan tidak mengetahui tentang kewujudannya, oleh itu saya percaya dengan penambahan perpustakaan tersebut masyarakat akan lebih terdedah dan berkunjung ke situ.

“Dalam masa yang sama, saya berharap agar pihak pengurusan perpustakaan dapat menerapkan langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 agar semua golongan dapat belajar dalam keadaan yang terkawal dan selamat,” ulasnya yang turut menzahirkan hasrat membawa anak-anaknya ke situ.

 

Gajet-gajet yang disediakan untuk kemudahan masyarakat.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: AMIR IRSYAD OMAR