Sambutan Meriah PKMS Galakan Gaya Hidup Sihat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SEKUMPULAN kanak-kanak tidak mahu ketinggalan mencuba eksperimen ringkas yang disediakan oleh penuntut Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM bersempena penganjuran PKMS di sini baru-baru ini.
SEKUMPULAN kanak-kanak tidak mahu ketinggalan mencuba eksperimen ringkas yang disediakan oleh penuntut Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM bersempena penganjuran PKMS di sini baru-baru ini.

 

PULAU BETONG – ‘Ke Arah Gaya Hidup Sihat’ menjadi tema penganjuran Program Khidmat Masyarakat  Sejahtera (PKMS) Peringkat KADUN Pulau Betong kali ini ternyata memberi impak yang menarik buat penduduk sekitarnya.

PKMS yang merupakan anjuran Pejabat Penyelaras KADUN Pulau Betong bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Titi Teras, Team COMBI Titi Teras, Penang Family Health Development Association (PFHDA), Jawatankuasa Qaryah Masjid An-Nur, Rukun Tetangga Titi Teras, Perpustakaan Desa Titi Teras dan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menarik lebih 500 pengunjung tempatan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan,” ujar Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang turut merasmikan PKMS di sini baru-baru ini.

Menurut Tuah, selain mengadakan pelbagai pertandingan buat semua lapisan usia, PKMS juga turut mendapat kerjasama dari Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, ‘Pap Smear’ dan ujian saringan kanser payudara.

“Bersesuaian dengan tema yang dipilih, kita mahu penduduk di Pulau Betong ni, sihat dan sentiasa berada dalam keadaan yang produktif,” ujar Tuah.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan beras kepada 60 individu yang terdiri dari warga emas dan ibu tunggal serta penyampaian sumbangan pakaian persekolahan tajaan MMK Penerangan Pejabat Ketua Menteri dan Hotel Sunway kepada 100 murid sekolah sekitar KADUN Pulau Betong.

Selain itu, penyampaian dua unit mesin jahit sumbangan Hotel Sunway turut disampaikan kepada JKKK Wanita Titi Teras. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri turut tidak ketinggalan menyampaikan 300 unit ‘goody bag’ buat pengunjung PKMS.