SKIMAS, sesuatu yang bakal tingkat semangat juang atlet – Chong Wei

Admin

GEORGE TOWN – Datuk Wira Lee Chong Wei menerima RM26,400 insentif kewangan di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS), manakala seorang lagi rakan senegeri Chan Peng Soon (RM5,400).

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri dengan diiringi Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, menyerahkan replika cek sumbangan SKIMAS tersebut kepada dua wira berkenaan pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

 

“Penganugerahan insentif kejayaan berbentuk kewangan di bawah SKIMAS adalah kepada atlet-atlet yang telah berjaya merangkul pingat.

 

“Insentif ini diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2014 bertujuan untuk meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada atlet-atlet Pulau Pinang yang mewakili Malaysia dalam sukan-sukan bertemasya peringkat antarabangsa diiktiraf badan induk sukan negara,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Dalam pada itu, Lip Chee pula berharap pemberian insentif tersebut akan menggalakkan lebih ramai lagi atlet kelahiran negeri menyumbang serta memburu pingat untuk negara.

 

“Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kepentingan memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

 

“Ianya bermula dengan menggalakkan orang ramai, tak kira tua atau muda, untuk menjadikan sukan salah satu hobi atau aktiviti yang diamalkan secara konsisten.

 

“Dengan adanya sokongan dan budaya bersukan, maka akan lahir ramai lagi juara sukan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal. Exco Kerajaan Negeri lain turut sertai majlis penghargaan serta sidang media itu.

 

Bercakap kepada pemberita, Chong Wei memuji inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mewujudkan SKIMAS demi menggalakkan lebih ramai atlet negeri memburu kejuaraan serta mengharumkan nama baik negara.

 

“SKIMAS ini akan menggalakkan atletatlet lain dari Pulau Pinang supaya lebih bersemangat lagi, main lebih bagus lagi.

 

“Ini, sesuatu yang akan meningkatkan semangat atlet kita, untuk berjuang lebih baik, untuk negeri kita,” jelasnya sambil mengharapkan lebih ramai bintang lahir dari Pulau Pinang selepas beliau bersara kelak.

 

Chong Wei dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Australia baru-baru ini meraih satu pingat emas bagi acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat perak bagi acara badminton pasukan campuran.

 

Manakala Peng Soon, membawa pulang satu pingat gangsa bagi acara badminton beregu campuran dan satu pingat perak bagi acara badminton pasukan campuran.

 

Pada kejohanan antarabangsa yang berlangsung dari 4 hingga 15 April lepas tersebut, 10 daripada 117 atlet negara adalah dari Pulau Pinang.

 

Kontinjen Malaysia berjaya meraih tujuh pingat emas, perak (5) dan gangsa (12), dengan berada di kedudukan ke-11 daripada 71 kontinjen yang bertanding dalam kejohanan antarabangsa itu.