RM13.7 bilion bajet tambahan pusat mampu dibelanja 18 tahun di P. Pinang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MOHD HAFIZ TAJUDIN

TASEK GELUGORLangkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini membentangkan bil bekalan tambahan sejumlah RM13.8 bilion di Dewan Rakyat untuk dibelanjakan tahun ini dipertikai.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, amalan berhutang secara luar biasa itu akhirnya akan merugikan rakyat.

“Kerajaan pusat telah membuat belanjawan tambahan RM13.7 bilion, bersamaan 18 kali ganda dari bajet (tahunan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Kalau kerajaan berbelanja lebih, bermakna rakyat akan terus menanggung hutang (yang lebih),” ujar beliau semasa berucap di Dewan Mohamad Mohd. Taib, sempena Program Mesra Rakyat Parlimen Tasek Gelugor di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah hutang negara mencecah hampir 55 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sekurang-kurangnya RM16,700 wajib ditanggung oleh setiap warganegara jika dinisbah pada keseluruhan populasi rakyat di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut berucap pada Majlis Mesra Rakyat Bersama Ketua Menteri itu.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Law Choo Kiang (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir), Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri boleh berbelanja secara berhemat selama 18 tahun dengan jumlah 13.7 bilion itu.

“Dengan jumlah itu (RM13.7 bilion), kita boleh berbelanja 18 kali (tahun),” ujarnya.

Difahamkan, hutang terkumpul kerajaan pusat kira-kira RM556 bilion sekarang sungguhpun RM226 bilion pada tahun 2006.

Manakala, Kerajaan Negeri pada tahun lepas berjaya melepaskan hutang awam sebanyak 95 peratus atau RM655.25 juta menjadi baki hutang terkumpul sekarang berjumlah RM29.66 juta sahaja.

“(Kerajaan Negeri) Pulau Pinang berjaya raih banyak untung kerana kita tak lebih berbelanja dari bajet tahunan kita.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) dapat lebihan kewangan kerana kita berhemat dalam berbelanja sampai boleh menyumbang dalam program-program emas kepada rakyat,” ujar beliau.

Warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di negeri berkenaan yang mendaftar dengan Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM100 tiap-tiap tahun. Itu, tidak termasuk sumbangan “one-offanak baru lahir RM200 bermula sejak tahun lepas.

Terbaru, Kerajaan Negeri sedang berusaha menyalurkan sumbangan RM100 kepada pelajar darjah satu dan empat serta pelajar tingkatan satu dan empat sungguhpun menerima layanan dingin di beberapa sekolah selain Kementerian Pelajaran Malaysia.