Robotics Challenge bangun kemahiran sains & teknologi tempatan

Admin

Oleh :AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPenyertaan syarikat-syarikat bertaraf multinasional dan penggerak teknologi industri kecil sederhana memainkan peranan penting dalam menjayakan visi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dilengkapi kemahiran sains dan teknologi tempatan.

Saranan tersebut disuarakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan 1st Robotics Challenge 2012 anjuran Majlis Sains Pulau Pinang (Penang Science Council – PSC) dengan kerjasama Kolej Damansara Utama (KDU) di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau yakin dengan usaha ditunjukkan PSC dan pihak-pihak terbabit dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi baru yang celik kejuruteraan.

“Generasi muda yang ada pada hari ini adalah kunci kejayaan bagi membolehkan Pulau Pinang mengungguli pelbagai aspek sama ada pentadbiran mahupun bakat,’’ katanya.

Dalam pertandingan yang diadakan baru-baru ini, sebanyak 14 buah sekolah yang mengambil bahagian adalah ditaja oleh PSC. Malah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 buah sekolah telah berjaya menjuarai pertandingan dipertandingkan mengikut kategori masing-masing.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam dinobatkan juara keseluruhan sekolah menengah dengan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan piala pusingan manakala SMK Berapit dan SMK Georgetown masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, juara, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Min Sin, Kumpulan B2 manakala bagi tempat kedua dan ketiga dimenangi SRJKC Min Sin, Kumpulan A3 dan SRJKC Kwang Hwa.

Menurut Pengetua KDU Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok, penganjuran julung kali itu telah berjaya menarik penyertaan 19 buah sekolah dan diharapkan ia memperoleh sambutan lebih menggalakkan pada tahun hadapan.

“Sebagai permulaan, KDU dengan kerjasama PSC akan berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam mengadakan aktiviti menjurus ke arah pembangunan sains, teknologi serta kejuruteraan,’’ ujar Beng Keok.

SALAH seorang mentor menerangkan fungsi dan operasi motorsikal robotik kepada Ketua Menteri sempena 1st Robotics Challenge 2012 di sini baru-baru ini.
SALAH seorang mentor menerangkan fungsi dan operasi motorsikal robotik kepada
Ketua Menteri sempena 1st Robotics Challenge 2012 di sini baru-baru ini.