Roslinda, Penasihat Undang-Undang Negeri baru

Admin

GEORGE TOWN – Mantan Penasihat Undang-Undang di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Roslinda Mohd. Shafie mengangkat sumpah jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang yang baru berkuat kuasa 15 Mac 2023.

Pelantikan Roslinda adalah bagi menggantikan Dato’ Norazmi Mohd. Narawi yang bertukar ke Putrajaya.

ROSLINDA Mohd. Shafie.

Upacara lafaz sumpah jawatan dan kerahsiaan disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan disaksikan oleh barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco); Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar dan Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar.

Terdahulu, semasa pertemuan tertutup bersama-sama Kon Yeow, Roslinda merakamkan penghargaan dan pengharapan untuk memberi khidmat bakti terbaik di negeri Pulau Pinang.

“Saya berharap Y.A.B. Ketua Menteri dan barisan Exco serta pimpinan Kerajaan Negeri lain dapat memberikan tunjuk ajar kepada saya yang masih baharu di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow mewakili pimpinan negeri lain mengalu-alukan kedatangan Roslinda dalam pentadbiran negeri ini dan berharap agar dengan lantikan tersebut akan memudahkan segala urusan berkaitan.

“Tahniah atas pelantikan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang yang baharu dan selamat datang ke Pulau Pinang,” ujarnya.

 

ROSLINDA Mohd. Shafie mengadakan pertemuan julung kali dengan Ketua Menteri di Komtar.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD