RTB Fasa II Sungai Pinang perlu disegerakan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DATOK KERAMAT“Peranan dan penglibatan kerajaan dalam menghadapi masalah banjir amat penting dan perlu dititikberatkan kerana impak banjir turut mempengaruhi aspek kepentingan dan kestabilan politik,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo di sini baru-baru ini.

JAGDEEP Singh Deo.
JAGDEEP Singh Deo.

Menurut beliau, projek Rancangan Tebatan Banjir dan Perparitan Perbandaran (RTB) Fasa II bagi Sungai Pinang perlu dipandang serius memandangkan masalah banjir yang melanda kawasan berkenaan semakin meruncing terutama selepas kejadian pada 1 Jun dan 2 Julai lalu.

“Bencana ini bukanlah di bawah kawalan kita kerana ia sesuatu pada luar jangkaan.

“Namun, kita boleh cuba membendungnya andai langkah-langkah awal diambil terutama setelah selesai projek RTB Fasa I pada tahun 1999,” ujar Jagdeep yang kecewa dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang tidak mengambil langkah wajar mengatasi banjir di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Karnival Mesra Harmoni di sini baru-baru ini.

Katanya, projek RTB Fasa II kini telah hampir 70 peratus siap dan berharap ianya dapat diselesaikan tahun ini. Kelewatan dipercayai gara-gara tindakan Kerajaan Persekutuan menangguh peruntukan buat sementara menerusi Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) membabitkan masalah perpindahan penduduk setempat.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut telah dibawa ke Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan berharap ianya tidak berlanjutan sehingga ke RMK berikutnya.

“Sumber Kerajaan Negeri adalah terhad dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat hulurkan bantuan kewangan bagi menjayakan projek RTB ini supaya masalah banjir dapat diatasi segera,’’ ujar beliau.

Projek RTB Fasa II menelan belanja hampir RM150 juta turut merangkumi pelebaran dan pendalaman dasar Sungai Pinang serta pemasangan perangkap kelodak (silt trap).