RTD SPU & SPT 2020 bakal dilaksana sebagaimana diwartakan

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Seberang Perai Utara 2020 (RTD SPU) dan Daerah Seberang Perai Tengah 2020 (RTD SPT) yang memberi tumpuan kepada perancangan dan pembangunan di kedua-dua daerah tersebut telah dilancarkan bagi memastikan misi Pulau Pinang untuk muncul sebagai bandaraya mapan terlaksana menjelang 2020 di sini baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif berkata, Draf Rancangan Tempatan yang melibatkan dua daerah berkenaan adalah bagi memberi fokus kepada rancangan pembangunan tempatan yang lebih spesifik dan menyeluruh di dalam kawasan pentadbiran MPSP untuk tempoh sehingga tahun 2020.

Dalam pada itu, jelas beliau, sebelum mewartakan cadangan dikemukakan, penyertaan awam bermula 15 Mac hingga 12 April lalu sepertimana termaktub di dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 telahpun dijalankan.

Proses tersebut adalah untuk orang awam mengemukakan cadangan, ulasan ataupun maklum balas yang akan diambilkira sebelum mewarta dan memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan. Dalam pada itu, maklum balas-maklum balas tersebut akan digunapakai oleh pasukan kajian yang terdiri daripada pasukan petugas Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia dan kepakaran pihak perunding yang telah dilantik untuk proses seterusnya,” katanya pada Majlis Pelancaran RTD SPU dan RTD SPT 2020 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, RTD SPU 2020 telah bermula pada 1 April 2005, manakala, RTD SPT 2020 yang bermula pada 1 Februari 2006 adalah dilaksanakan melalui pembiayaan daripada peruntukkan Tabung Amanah dengan jumlah keseluruhan peruntukan kajian sebanyak RM648,093.09.

Hala tuju bagi kedua-dua Rancangan Tempatan ini adalah untuk memastikan segala perancangan dan pembangunan di daerah SPU dan SPT adalah tersusun, teratur serta membangun sebagaimana yang telah digariskan dalam polisi, inisiatif dan program-program dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020.

Apabila Rancangan Tempatan ini disempurnakan dan diwartakan kelak, maka, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan pembangunan yang hendak dijalankan di kedua-dua daerah ini perlu mematuhi garis panduan perancangan yang telah disediakan,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, Zainuddin Ahamad.

Ringkasan RTD SPU 2020 :

  • Merangkumi kawasan seluas 26,740.90 hektar (267.409 kilometer persegi).

  • Dibahagikan kepada 15 mukim dan 4 seksyen.

  • Tumpuan pembangunan melibatkan kawasan Butterworth, Kepala Batas-Bertam dan Tasek Gelugor.

  • Bangunkan sebagai bandar selamat, mapan, ekonomi berdaya saing yang dilengkapi prasarana moden.

  • Projek dikenalpasti antaranya, cadangan perumahan di Butterworth (Chain Ferry, Mak Mandin, Raja Uda, Bagan Lalang, Bagan Ajam dan Bagan Dalam), cadangan Light Mass Transit (LMT) dan Undersea Tunnel sepanjang 6.5 kilometer yang akan menghubungkan Butterworth dan George Town.

  • Cadangan guna tanah keseluruhan bagi kawasan pertanian adalah seluas 12,557.74 hektar (46.96%), kediaman 6,086.97 hektar (22.76%), perumahan terancang (14.64%) dan perkampungan (8.13%).

  • Bagi pengangkutan, kawasan seluas 2,023.75 hektar (7.57%) telah dicadangkan bagi pembangunan jalan raya, lebuhraya, rizab landasan keretapi dan pelabuhan

Ringkasan RTD SPT 2020 :

  • Merangkumi kawasan seluas 23,798 hektar (237.98 kilometer persegi) telah dibahagikan kepada 21 mukim dan 6 seksyen.

  • Kawasan yang terlibat adalah Seberang Jaya-Permatang Pauh, Bukit Mertajam-Juru dan Bukit Minyak-Machang Bubuk.

  • Dibangunkan menjadi sebuah pusat pembangunan sektor perindustrian dan perkhidmatan bagi menyokong peranan George Town sebagai pusat pertumbuhan wilayah, konurbasi George Town dan pembangunan Butterworth-Perai sebagai ‘Port City’.

  • Antara projek utama adalah seperti cadangan Zon Industri Kampung. Bagan Serai ; cadangan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Perindustrian di kawasan Perindustrian Bukit Minyak ; cadangan Taman Agro Teknologi di Juru ; cadangan kawasan Perindustrian Penanti dan Program Enap Desa Perkampungan Kampung Semang, Mengkuang Titi dan Perkampungan Juru.

  • Guna tanah utama sektor pertanian iaitu seluas 8,567.28 hektar (36.0%) dari keluasan keseluruhan daerah SPT diikuti dengan kediaman 3,457.85 hektar (14.53%).

 

MAIMUNAH Mohd. Sharif (kanan sekali) memberi penjelasan mengenai cadangan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di SPU dan SPT kepada Ketua Menteripada Majlis Pelancaran RTD SPU dan RTD SPT 2020 di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif (kanan sekali) memberi penjelasan mengenai cadangan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di SPU dan SPT kepada Ketua Menteripada Majlis Pelancaran RTD SPU dan RTD SPT 2020 di sini baru-baru ini.