“UMNO yang melenyapkan tanah masjid: – KMPP

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ir. Shaik Hussein Mydin dinasihat supaya jangan terlalu sombong dalam mencari kebenaran berhubung kontroversi penjualan tanah Bayan Mutiara yang kononnya ‘mengorbankan’ tapak masjid.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak (kiri) sambil mencabar Shaik Hussein untuk berdebat secara terbuka, turut berpendapat bahawa kaedah perdebatan merupakan jalan terbaik untuk mencari kebenaran berhubung isu tanah terbabit.

RAHMAD Isahak.
RAHMAD Isahak.

“Saya ingin menasihat bahawa UMNO langsung tiada kuasa eksekutif di (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang.

“Jangan berlagak sombong, anda (UMNO) bukan kerajaan lagi. Anda pembangkang.

“Sahutlah cabaran debat secara terbuka oleh NGO Melayu sekerdil kami (KMPP) bagi merungkai kebenaran sebenar… kalau mungkin takut nak ditelanjangkan oleh PAS (Dr. Mujahid),” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Rahmad berkata, langkah Shaik Hussein (kanan) menjadikan isu “tiada kuasa” untuk mengelak perdebatan dengan beliau dan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) menyerlahkan sikap tidak profesional ketua pemuda itu sahaja.

“Beliau (Shaik Hussein) seorang jurutera, sepatutnya tahu bahawa kelulusan pelan perancangan pada 30 Jun 2006 itu bukanlah bermakna pembangunan boleh dijalankan, tapi, sebaliknya hanya pelan perancangan yang dirancang.

“Adakah pelan pecah sempadan diluluskan oleh Kerajaan Negeri (era Umno Barisan Nasional) ditandatangani?

“Sebab itu, sehingga saat ini, KMPP sanggup mengatakan bahawa UMNO lah yang melenyapkan tanah tersebut,” beliau menambah.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Agung KMPP, Mohd. Noor Mohd Abdul Kader dan Mohd. Faizal Kader (Bendahari).

Semalam, pendiri KMPP itu mendedahkan para pemimpin UMNO dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang era lepas sepatutnya awal-awal lagi memecahkan lot tanah itu sejurus fasa 1 projek tersebut diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 2006.

Namun, UMNO tidak menggazetkan tanah berkenaan dalam tempoh satu tahun lima bulan sebelum mandat Kerajaan Negeri berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.

Mengapa pemimpin UMNO ketika itu tidak memastikan tanah lot itu dipecah lalu diserahkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), tanya Rahmad.