Sumbangan RM20,000 galak pergerakan pertubuhan sukarela luar bandar

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyampaikan sumbangan insentif masing-masing berjumlah RM10,000 kepada dua pertubuhan sukarela dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang.

Wakil penerima adalah Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kuala Sungai Pinang, Lim Chye Seng dan Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kuala Jalan Baru, Thor Joo Leong.

“Sumbangan ini adalah untuk menggalakkan pergerakan pertubuhan sukarela di kawasan pedalaman,” jelasnya pada sidang media di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Balik Pulau, Dato’ Abdul Halim Hussain merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng atas pemberian insentif sumbangan itu.

Hadir sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Parlimen Balik Pulau, Zolkifly Md. Lazim serta beberapa anggota kedua-dua pertubuhan sukarela berkenaan.

Dalam pada itu, Chye Seng dan Joo Leong mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri di atas sumbangan berkaitan.

“Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri kerana sudi menderma untuk pasukan bomba sukarela kami.

“Sumbangan ini amat berguna kepada kami terutamanya untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat,’’ kata Chye Seng pada majlis sama.