Sambut baik usaha kerjasama demi manfaat rakyat – Ketua Menteri

Admin

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyambut baik usaha kerjasama daripada kerajaan serta agensi Persekutuan terutama dalam agenda yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Karnival Rakyat Batu Uban 2022 yang diadakan di pekarangan Lotus’s Sungai Dua dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memaklumkan bahawa pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberi fokus terhadap pembangunan sosioekonomi dan kebajikan rakyat.

“(Hal ini), merangkumi projek-projek pembangunan fizikal yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.

CHOW Kon Yeow menunjukkan tanda bagus kepada salah satu wakil agensi yang mengambil bahagian.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa bagi pihak Kerajaan Negeri, fokus utama adalah merealisasikan Visi Penang2030.

Saya percaya, segala dasar dan program yang direncanakan selama ini adalah penterjemahan terhadap Visi Penang2030.

“Termasuklah menunaikan janji manifesto pada pilihan raya umum lalu yang mana 90 peratus telah berjaya dilaksanakan.

“Kejayaan ini (menunaikan janji manifesto) juga adalah hasil sumbangan dan usaha keras semua rakyat serta wakil-wakil rakyat dalam jentera kerajaan.

“Justeru, bagi merancakkan lagi pemulihan negeri, Kerajaan Negeri telah melancarkan ❤️PENANG (LovePENANG) sebagai instrumen membantu antara satu sama lain untuk terus mencapai kejayaan sambil menjaga kebajikan rakyat,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkaitan.

TIDAK melepaskan peluang bergambar bersama-sama Ketua Menteri sambil menunjukkan simbol mini ❤️.

 

Malah, beliau juga menyeru agar semua pihak bertungkus-lumus dalam memulihkan semula negeri ini agar dapat menikmati hasil pembangunan dan sosioekonomi yang kukuh.

“Hal ini terbukti apabila Pulau Pinang berjaya merekodkan pelaburan tertinggi bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM76 bilion.

“(Dan) merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (bagi Pulau Pinang) sebanyak 6.8 peratus berbanding negatif 2.1 peratus tahun sebelumnya,” ulasnya lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik antara kenamaan yang turut berucap pada karnival berkaitan.

Menurut Kumaresan, pihaknya pernah menganjurkan karnival serupa pada tahun 2019 dan berhasrat untuk mengadakan karnival secara berkala di setiap kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Batu Uban.

“Saya yakin bahawa melalui penganjuran karnival seperti ini, is dapat mendekati dan membantu masyarakat setempat secara langsung,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama dif jemputan dibawa melawat ke setiap ruai-ruai pameran di sini.

Difahamkan, sebanyak 16 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian pada penganjuran Karnival Rakyat Batu Uban 2022 antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso); Jabatan Kebajikan Masyarakat; Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Kumpulan Perubatan Menara; Hong Leong Bank dan banyak lagi.

Hadir sama, Pengarah Stor Lotus’s Stores (M) Sdn. Bhd. Cawangan Sungai Dua, Yoong Sin Yee serta wakil; barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), wakil-wakil dari MPKK; Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) KADUN Batu Uban.

Selain pameran agensi kerajaan dan swasta, Karnival Rakyat Batu Uban 2022 turut dimeriahkan dengan pelbagai acara untuk semua lapisan masyarakat termasuk senam aerobik, pertandingan mewarna dan gubahan tuala. Pengunjung karnival yang hadir juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang disediakan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING