Sedia bincang tambah jemaah solat Jumaat ikut SOP – TKM I

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman percaya bahawa bakal ada permintaan daripada umat Islam untuk menambah bilangan jemaah bagi solat Jumaat pada masa akan datang.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menunaikan solat Jumaat kali pertama semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

 

Solat Jumaat yang dihadiri seramai 16 jemaah itu ditunaikan di Masjid Negeri Pulau Pinang, Air Itam.

 

“Selepas kita jalankan solat Jumaat beberapa minggu ini, tengoklah mungkin ada permohonan atau pandangan daripada jawatankuasa khas untuk menambah jemaah bagi memberi peluang kepada lebih orang ramai.

 

“Selepas buat (solat Jumaat) hari ini saya percaya ramai yang minta pertambahan jemaah solat Jumaat kerana ini adalah amalan yang begitu dekat dengan umat Islam sebab buat setiap minggu.

 

“Masing-masing rindu hendak datang solat Jumaat, jadi kita akan teliti sekiranya ada permintaan, kita akan bincang,” ujar Zakiyuddin kepada pemberita petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Azhar Arshad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAHEAIPP), Zulkifli Long dan Imam Besar Masjid Negeri, Mohd. Nordin Samah.

 

Ditanya mengenai masjid yang menunaikan solat Jumaat hari ini, Zakiyuddin memaklumkan kira-kira 80 peratus masjid seluruh negeri menunaikannya.

 

“Tidak semua masjid buat, mungkin mereka tidak mampu ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jadi mereka tidak buat.

 

“SOP ini akan diteruskan sehingga mendapat pengesahan atau tatacara keselamatan dan penjagaan dari pihak berwajib dengan cara begini dalam tempoh tertentu ini.

 

“Masjid yang tidak laksanakan hari ini mungkin boleh laksanakan minggu-minggu akan datang sekiranya mampu ikut peraturan (SOP) ditetapkan,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG