Sejarah PRU14 bakal memperlihatkan Pulau Pinang terus maju, Malaysia saksikan permulaan yang baik

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

GEORGE TOWN – Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya mandat berat memikul jawatan Ketua Menteri bakal ‘dipermudahkan’ hasil sokongan daripada rakyat Pulau Pinang.

 

“Mandat jawatan Ketua Menteri adalah amat berat.. namun saya rasa dengan keikhlasan, kejujuran, humility, visi serta sokongan rakyat jelata dan sokongan daripada pentadbir Kerajaan, saya percaya apa yang tidak boleh, kita bolehkan; apa yang berat, kita ringankan; apa yang susah boleh disenangkan.

 

“Jadi kita harap, sejarah yang dicipta pada PRU (Pilihan Raya Umum ke-14) baru-baru ini, bukan sahaja Pulau Pinang akan maju ke depan, bahkan Malaysia akan menyaksikan permulaan yang baik.

 

“Mungkin permulaan ini mengambil masa panjang sedikit untuk memperbetulkan perkara yang tidak betul selama ini kerana perubahan Kerajaan Pusat menjadi suatu cabaran penting kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang diberi mandat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini,” ucapnya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa Anjuran Muslim Jewelers & Money Changer (MJMC) di sini 30 Mei lalu.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen dan Presiden MJMC, Anvar Hussain.