TYT agih RM748,940 hasil pendapatan wakaf

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

 

BATU LANCANG – Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyerahkan RM748,940 hasil pendapatan wakaf kepada 21 masjid, lima surau, 24 institusi pendidikan dan tiga badan bukan kerajaan (NGO).

 

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, agihan kepada para penerima adalah berdasarkan amanah wakaf khas, wakaf am dan wakaf keluarga.

 

“Untuk tahun 2017, keseluruhan hasil wakaf adalah sebanyak RM818,940…pengagihan pada petang ini berjumlah RM742,940.

 

“(Baki) RM70,000 lagi akan diserahkan semasa peringkat kedua yang akan diatur nanti.

 

“Jumlah sumbangan kepada penerima manfaat adalah bergantung kepada hasil yang dijana.

 

“Sekiranya sesuatu wakaf itu menjana hasil yang tinggi, maka penerima manfaat juga akan menerima amaun yang tinggi,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Wakaf Pulau Pinang 2018 di Masjid Negeri sebelum menyertai acara jamuan berbuka puasa di sini 25 Mei lalu.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Anas Ahmad Zakie; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohamad Noor dan Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (WPPSB), Abu Bakar Yang turut menyertai majlis itu.

 

12 Februari 2016, Abdul Malik memberitahu, MAINPP menubuhkan anak syarikat WPPSB, antara lain demi meningkatkan mutu pengurusan hartanah wakaf melalui pendapatan sewaan, pembangunan projek-projek baru dan kutipan dana wakaf sendiri.

 

“Kini, selain sumbangan wakaf boleh dibuat secara terus kepada MAINPP, kemudahan sumbangan melalui potongan gaji turut disediakan.

 

“Sumbangan melalui dalam talian turut boleh dilakukan melalui sesawang www.mainpp. gov.my.

 

“Penyumbang akan menerima kupon atau resit sumbangan wakaf yang melayakkan mereka untuk mendapat pengecualian cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.

 

Abdul Rahman sendiri menyempurnakan gimik peluncuran logo Wakaf Pulau Pinang sebagai simbol institusi umat Islam itu beroperasi sepenuhnya, selepas ini.