DI sebalik kesederhanaan sebiji kuih serabai yang diperbuat daripada adunan beras dan santan, tersimpan warisan rasa yang kini kembali mencuri perhatian dunia apabila Serabai Istimewa di Astaka Taman Tun Sardon, Gelugor, tersenarai dalam MICHELIN Bib Gourmand 2027.
Pengiktirafan berprestij itu bukan sahaja mengangkat keistimewaan sajian tradisional Melayu, malah menjadi bukti bahawa makanan warisan yang dipertahankan sejak puluhan tahun lalu mampu berdiri sebaris dengan pelbagai sajian terkenal di persada antarabangsa.
Lebih membanggakan, gerai keluarga yang mula beroperasi pada 1975 itu kembali mendapat tempat dalam senarai berkenaan selepas tidak tersenarai pada edisi sebelumnya.


Diusahakan oleh JAMALIAH HASSAN, 68, Serabai Istimewa terus mempertahankan keaslian resipi turun-temurun yang diwarisi daripada ibu dan bapanya, sekali gus menjadikan setiap hidangan bukan sekadar makanan, tetapi lambang kesinambungan tradisi keluarga.
Bagi Jamaliah, kejayaan itu membawa makna tersendiri kerana perniagaan yang dibina oleh ibu bapanya sejak lebih lima dekad lalu kini mendapat pengiktirafan lebih luas.
Menurutnya, perniagaan berkenaan diwarisi daripada ibu dan bapa sebelum diteruskan bersama suami serta anak-anak, manakala kakaknya yang pernah turut membantu sudah berhenti berniaga kerana masalah kesihatan.
“Gerai ini sudah lama berada di Astaka Taman Tun Sardon dan kami berniaga di gerai nombor 18 sejak zaman ibu lagi.
“Alhamdulillah, selepas sekian lama mempertahankan resipi keluarga, kini serabai kami mendapat pengiktirafan MICHELIN.
“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan buat kami,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui di premis perniagaanya di sini sebentar tadi.

Keistimewaan Serabai Istimewa terletak pada proses penyediaannya yang memerlukan kesabaran dan ketelitian.
Beras direndam, dikisar dan diperam sebelum dijadikan adunan, dengan keseluruhan proses mengambil masa kira-kira tiga hari bagi menghasilkan tekstur serta rasa yang diinginkan.
Kuih serabai itu kemudiannya dihidangkan bersama kuah gula Melaka atau kaya, memberikan gabungan rasa manis dan lemak yang menjadi tarikan penggemarnya.
Selain serabai biasa, pelanggan turut boleh memilih apam bakar dan serabai telur, sekali gus menawarkan variasi sajian tradisional yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Menariknya, resipi serta jumlah pengeluaran harian kekal sebagai rahsia keluarga yang dipertahankan sejak dahulu, menjadikan keunikan rasa Serabai Istimewa sukar ditiru.
Walaupun mendapat perhatian MICHELIN, Jamaliah masih memilih untuk mengekalkan operasi secara sederhana di gerai berkenaan tanpa menyertai ekspo atau acara luar.
Pelanggan juga boleh mendapatkan serabai sejuk beku untuk dibawa pulang, membolehkan sajian warisan itu dinikmati di rumah.
Dalam menguruskan perniagaan, Jamaliah hanya dibantu suami dan anak-anak, namun kesungguhan mereka meneruskan legasi keluarga membuktikan bahawa usaha kecil yang berterusan mampu menghasilkan pencapaian besar.
Pengiktirafan MICHELIN Bib Gourmand 2027 bukan sekadar kejayaan sebuah gerai makanan, tetapi turut membawa makna lebih besar kepada usaha memartabatkan makanan tradisional tempatan.
Di tengah-tengah perkembangan industri gastronomi yang semakin moden, Serabai Istimewa membuktikan bahawa warisan rasa tidak perlu diubah untuk mendapat tempat di mata dunia.
Sebaliknya, keaslian, kesetiaan terhadap resipi keluarga dan ketekunan mempertahankan tradisi menjadi kekuatan yang menjadikan kuih serabai dari Gelugor ini terus dikenang, sekali gus mengangkat nama Pulau Pinang sebagai destinasi makanan yang kaya dengan khazanah warisan.

