Seramai 315 kakitangan MBSP terima anugerah perkhidmatan cemerlang, 71 bersara tahun ini

Admin

SEBERANG JAYA – Usaha gigih 315 orang kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berbaloi apabila masing-masing menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021 hari ini.

Kesemua mereka menerima pengiktirafan tersebut dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Jasamu Dikenang 2022 yang dihadiri oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad di sini pagi tadi.

Semua penerima anugerah membawa pulang hadiah prestasi berjumlah RM1,000, sijil perkhidmatan cemerlang serta diberi peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya masing-masing.

Semasa berucap, Azhar berkata penganjuran majlis tersebut adalah sebagai manifestasi penghargaan pentadbiran MBSP terhadap kakitangan-kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2021.

Dato’ Azhar Arshad ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan Jasamu Dikenang 2022 pagi tadi.

 

“Segala usaha, pengorbanan dan keringat yang ditunjukkan oleh kakitangan ini dapat menjadi contoh dan pemangkin semangat kepada mereka yang lain terutama kakitangan baru berkhidmat dengan MBSP.

“Penganjuran majlis seperti ini juga menjadi bukti bahawa MBSP sentiasa mengambil berat soal kebajikan dan usaha-usaha kakitangan yang menjadi pendokong utama kecemerlangan MBSP,” katanya.

Di samping memastikan kakitangan mencapai prestasi cemerlang, Azhar berkata MBSP juga memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan kakitangan dari semua sudut termasuk gangguan emosi.

“Untuk itu, MBSP telah menggerakkan pasukan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) untuk membantu pekerja yang menunjukkan tanda-tanda kesihatan mental supaya dapat diberikan bantuan sokongan emosi pada peringkat awal,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa MBSP juga amat memandang serius mengenai masalah integriti dan etika di kalangan warga kerjanya tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Antara kakitangan MBSP yang menerima APC bagi tahun 2021.

“Justeru, MBSP amat komited dalam usaha meningkatkan integriti, membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah di kalangan kakitangan dan seterusnya menyasarkan untuk menjadi sebuah PBT yang berintegriti, telus dan sifar rasuah,” tegasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; ketua-ketua jabatan serta pengerusi-pengerusi persatuan yang bernauh di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

 

Selain kakitangan cemerlang, majlis tersebut juga turut meraikan 51 orang pesara yang terdiri daripada 34 pesara wajib, pesara pilihan (10) dan kakitangan yang telah meninggal dunia (7).

Setiap pesara dan waris akan menerima sijil penghargaan dan cenderahati berupa jam tangan sebagai kenang-kenangan di atas perkhidmatan mereka di MBSP.

Di kesempatan itu, Azhar turut menzahirkan penghargaan atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan dengan penuh komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan warga kerja di MBSP.

“Saya menyeru agar pegawai-pegawai atau kakitangan-kakitangan yang masih berkhidmat, terus berhubung untuk mendapatkan nasihat daripada senior yang telah banyak berjasa ini.

“Nasihat dan tunjuk ajar anda semua boleh dijadikan pedoman untuk warga kerja yang muda supaya mereka sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang dalam memenuhi ekspektasi rakyat,” serunya lagi.

Muhammad Nasri Abu Bakar menunjukkan sijil APC yang diterima.

Sementara itu, MUHAMMAD NASRI ABU BAKAR ketika ditemui Buletin Mutiara menyifatkan anugerah yang diterima sebagai pembakar semangat untuk beliau terus berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

“Saya mula bertugas di MBSP pada 1999 secara kontrak sebelum dilantik sebagai kakitangan tetap pada tahun 2003 sebagai pemandu kenderaan di Jabatan Kejuruteraan MBSP.

“Ini merupakan kali ketiga saya menerima APC selepas kali terakhir diberi penghargaan begini pada 2001 dan 2003,” ujarnya mesra.

Muhammad Nasri berkata, pelbagai cabaran telah beliau lalu sepanjang 23 tahun berkhidmat dengan MBSP.

“Memandangkan tugas kami kebanyakannya untuk memantau peneroka-peneroka tanah haram, maka kami berdepan dengan pelbagai ancaman dari segi risiko keselamatan.

“Namun, atas rasa tanggungjawab dan ikhlas dalam menjalankan tugas jadi kita terpaksa lalui semua cabaran ini dan alhamdulillah…hari ini segala pengorbanan itu nampaknya berbaloi.

“Jadi, anugerah yang diterima hari ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha dengan lebih gigih lagi demi masa depan MBSP dan Seberang Perai,” katanya.

Seorang lagi penerima, M. KESAVAN turut berkongsi rasa gembira dan teruja beliau apabila terpilih sebagai salah seorang penerima APC bagi tahun 2021.

Beliau yang menerima anugerah tersebut buat kali kedua merakamkan penghargaan kepada MBSP kerana mengiktiraf perkhidmatan kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Mohamad Fisol Othman bersama sijil APC yang diterima.

“Anugerah ini sudah pasti akan menjadi pendorong kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk bekerja lebih gigih dan bertanggungjawab.

“Sepanjang tujuh tahun bertugas dengan MBSP, pelbagai cabaran yang terpaksa kami tempuhi terutamanya semasa bencana banjir besar pada tahun 2017 yang menuntut komitmen yang jitu daripada semua kakitangan MBSP.

“Namun semua cabaran tersebut kami tempuhi dengan hati yang cekal demi tanggungjawab kepada warga Seberang Perai,” ujarnya lagi.

Turut berkongsi rasa gembira ialah MOHAMAD FISOL OTHMAN yang menerima anugerah tersebuat buat kali pertama selepas berkhidmat dengan MBSP sebagai pembantu awam sejak tahun 2014.

“Sudah pasti saya rasa gembira dan teruja apabila terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang kali ini.

“Dengan anugerah ini, saya rasa lebih bersemangat dan beriltizam untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Kubang Menerong, Tasek Gelugor.

Dalam pada itu, HO KUN THONG yang bakal menamatkan perkhidmatan pada 27 September ini menyatakan bahawa beliau banyak menyimpan kenangan manis sepanjang 41 berkhidmat dengan MBSP.

“Saya mula bekerja semasa MBSP masih beribu pejabat di Jalan Bagan Luar dekat Butterworth lagi sebagai pembantu kesihatan awam di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran.

Ho Kun Thong menerima hadiah tanda ingatan daripada Datuk Bandar MBSP.

“Sepanjang berkhidmat, saya telah menyaksikan banyak perubahan positif yang dialami oleh MBSP dalam beberapa tahun kebelangan ini.

“Sejak dari berstatus Majlis Perbandaran sehinggalah diisytihar sebagai Majlis Bandaraya pada 2019, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh MBSP di samping menerima banyak pengiktirafan yang membanggakan.

“Juseru, saya berharap MBSP akan teruskan prestasi cemerlang ini dan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk warga Seberang Perai,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MBSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR