Wanita perlu dibekalkan kemahiran bagi menjana pendapatan mampan

Admin

SEBERANG JAYA – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa golongan wanita di negara ini perlu dibekalkan dengan kemahiran yang mampu menjana pendapatan mampan, akses kesihatan berkualiti serta pendidikan menyeluruh.

Katanya lagi, langkah itu penting bagi melahirkan wanita alaf baru yang berdikari serta bebas membuat keputusan sendiri mengenai hala tuju kehidupan masing-masing.

“Demi menjayakan matlamat ini, kita perlu terus menyokong usaha-usaha yang direka khas untuk menaikkan taraf hidup golongan wanita di negara ini.

Nurul Izzah Anwar bersama-sama Norlela Ariffin dan pihak-pihak berkaitan bergambar kenangan sebelum memulakan program mengedar bunga ros sempena Sambutan Hari Wanita dekat Pasar Awam Sementara Seberang Jaya.

“Di kawasan saya (Permatang Pauh), kami menyokong wanita antaranya melalui Projek Wanita Permatang Pauh, bantuan makanan tanpa tunai MyKasih, program saringan kanser serviks (ROSE) secara percuma dan pelancaran kajian untuk mendalami kemiskinan multidimensi.

“Program-program ini menyasarkan secara khususnya kepada para wanita paling memerlukan termasuklah ibu tunggal, wanita kurang upaya (OKU), wanita-wanita miskin dan juga mereka yang lanjut usia,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Terdahulu, Nurul Izzah mengadakan program mengedarkan bunga ros kepada peniaga dan pengunjung wanita di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia.

Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah menegaskan bahawa Malaysia hanya akan diiktiraf sebagai negara yang benar-benar menyokong pembaharuan apabila semua wanita mampu menyumbang secara aktif kepada masyarakat.

“Apabila semua wanita, tidak kira sama ada di luar bandar mahupun di bandar bebas menyumbang secara aktif kepada masyarakat, hanya pada ketika itulah kita boleh diiktiraf sebagai masyarakat yang benar-benar menyokong pembaharuan untuk semua.

“Ini dalam erti kata yang lain adalah pembaharuan yang inklusif, mampan dan kalis politik,” katanya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF