SKIMAS tanda penghargaan Syabas Anak-anak Emas Pulau Pinang!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyampaikan sumbangan cek Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada 22 pemenang pingat emas dalam Kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) Ke29, serta lima atlet istimewa di Kejohanan Sukan PARA ASEAN Ke-9 (PARA ASEAN).

Katanya, pemberian insentif itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada atlet Pulau Pinang yang mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan antarabangsa baru-baru ini.

“Tahniah dan syabas kerana anda semua telah membuatkan kita semua bangga,” katanya pada majlis di sini 4 Oktober lalu.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut memuji Nur Azlia Syafinas Mohd. Zais, 19, yang berjaya merangkul empat pingat emas dan satu perak untuk acara berbasikal individu wanita dalam PARA ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.

“Beliau merupakan satu-satunya pemenang pingat wanita dan juga yang paling muda…inilah salah seorang atlet luar biasa dari Pulau Pinang,” jelasnya.

Guan Eng memberitahu, jumlah pemberian insentif kepada para pemenang pingat emas SEA Games 2017 keseluruhannya berjumlah RM86,600, manakala RM53,500 lain kepada para pemenang pingat emas PARA ASEAN.

Sebelum itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menjelaskan bahawa pemenang pingat emas bagi kedua-dua kejohanan tersebut menerima RM6,000 untuk acara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi lima orang atau RM1,500 bagi setiap atlet berkumpulan yang mempunyai lebih lima orang.

Beliau yang juga ADUN Padang Lalang turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), semua atlet serta waris mereka atas pencapaian bersama dalam dua kejohanan peringkat antarabangsa berkaitan.

Sepanjang Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 19 hingga 30 Ogos lalu, seramai 42 atlet- Pulau Pinang yang mewakili negara menyumbang 22 pingat emas, perak (13) dan gangsa (tujuh) dalam acara Memanah, Tenpin Bowling, Wushu, Ekuestrian, Gimnastik Artistik, Karate, Perahu Layar, Boling Padang, Akuatik Terjun Air, Badminton, Hoki Wanita, Hoki Lelaki, Pencak Silat, Sepak Takraw, Olahraga, Snuker & Billiard, Ragbi dan Hoki Ais.

Bagi kejohanan PARA ASEAN yang berlangsung dari 17 hingga 23 September lalu, lapan atlet istimewa Pulau Pinang merangkul 12 pingat emas, perak (tujuh) dan gangsa (dua).